Malaysia Dateline

Tidak seperti era PN, Kerajaan Perpaduan komited akan selesaikan masalah rakyat

Dalam tempoh pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) selama 17 bulan lalu, mereka hanya bertindak menubuhkan jawatankuasa khas Kabinet bagi menangani harga barangan termasuk ayam selepas enam bulan rakyat bergelut dengan kos barang yang melambung.

Pembangkang iaitu PN sebelum ini tidak buat apa-apa perubahan dan tidak menyelesaikan isu rakyat pun termasuk isu harga ayam, tegas Yuneswaran Ramaraj.

Ahli Parlimen Segamat itu berkata, pembangkang tidak seharusnya menjadikan masalah harga ayam sebagai isu politik sekiranya mereka tidak mengetahui gambaran sebenar mengenai usaha yang sedang dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan.

“Kita (Kerajaan Perpaduan) baru sahaja mengambil alih kerajaan tidak sampai dua bulan sudah tentu akan ada rancangan untuk mengawal harga termasuk mengambilkira kos yang terlibat untuk penternak tanggung.

“Saya yakin harga ayam akan stabil dan ini bukan hanya ayam semata-mata tetapi kena juga lihat sektor rantaian makanan lain yang terlibat,” ujarnya.

Kerajaan Perpaduan komited untuk mengawal kenaikan harga bahan makanan dan barangan keperluan

Dalam masa sama, katanya, pengguna juga perlu bijak untuk berbelanja membeli barangan keperluan kerana terdapat segelintir peniaga yang sengaja menaikkan harga untuk megaut keuntungan berganda.

Baru-baru ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dihujani kritikan terutama daripada PN apabila beliau dikatakan mencadangkan orang ramai mengurangkan makan ayam bagi menjadikan harganya lebih anjal.

Yuneswaran Ramaraj

Jelas Yuneswaran, Rafizi menyebut mengenai keperluan untuk menangani isu permintaan dan penawaran bagi menjadikan harga barangan lebih anjal.

“Kalau permintaan dan penawaran pun susah mereka (PN) hendak faham bagaimana untuk mereka menyelesaikan masalah seperti ini?” tegasnya lagi.

Baca juga Lagi tata kelola baik kerajaan diterajui PM Anwar – Syarikat swasta jangan taja lawatan penjawat awam ke luar negara