Malaysia Dateline

Jumlah semakin meningkat, lebih 1,000 pesakit Covid-19 masuk hospital setiap hari

Lebih 1,000 pesakit Covid-19 dimasukkan ke hospital setiap hari, dedah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, bilangan kemasukan pesakit baharu ke hospital di Lembah Klang meningkat sebanyak lebih 33 peratus berbanding tempoh dua minggu lalu.

“Buat masa ini, bilangan pesakit yang dimasukkan ke hospital di Lembah Klang semakin meningkat selaras dengan peningkatan kes di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Terdapat 6,427 pesakit berada dalam hospital, 2,685 berada dalam PKRC dan 659 berada dalam ICU di Selangor, KL dan Putrajaya,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dalam masa sama, Dr Noor Hisham berkata, Sistem Dashboard Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Hospital juga menunjukkan bilangan pesakit yang tinggi menunggu bagi mendapatkan rawatan di luar Jabatan Kecemasan dan Trauma.

Ekoran itu, jelasnya, beberapa langkah sudah diambil di bawah seliaan Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley (GKVSTF) antaranya mewujudkan katil tambahan termasuk hospital medan di luar kawasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang serta mewujudkan katil tambahan di hospital seperti Hospital Selayang dan Hospital Serdang.

Sementara itu, katanya, kapasiti di PKRC Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) juga dipertingkatkan bagi memberi rawatan kepada pesakit yang memerlukan rawatan oksigen.

“Hospital yang sudah berfungsi sebagai hospital COVID-19 sepenuhnya adalah Hospital Sungai Buloh, Hospital Selayang, Hospital Ampang, Hospital Serdang dan Hospital Pakar Kanak-kanak UKM.

“Kapasiti katil hospital tambahan yang dapat dipertingkatkan untuk tempoh dua minggu lalu adalah 2,884 di sekitar Selangor, Kuala Lumpur serta Putrajaya dan jumlah ini akan meningkat melalui langkah yang sedang dilaksanakan,” katanya.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, kadar vaksinasi di Lembah Klang akan terus dipercepatkan bagi mengurangkan pesakit yang dijangkiti dengan gejala yang serius.

Untuk rekod, trend pandemik semakin membimbangkan dengan kes baharu Covid-19 mencatatkan rekod tertinggi buat dua hari berturut-turut menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan sebanyak 1,203,706 kes.