Malaysia Dateline

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

Data SPRM terbaru dedah jumlah wanita terbabit dalam rasuah makin meningkat

Data dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak lima tahun lalu iaitu pada 2017 hingga Ogos tahun ini, memaparkan bilangan kes rasuah membabitkan pelaku wanita terus meningkat.

Mereka antara lain terlibat dalam kes menerima suapan, memberi suapan, membuat tuntutan palsu dan menyalah guna kuasa untuk menerima suapan.

Ketua SPRM, Tan Sri Azam Baki mengakui, sewaktu beliau mula-mula bekerja di bahagian Badan Pencegah Rasuah, susah hendak menangkap wanita walaupun seorang.

Namun, peningkatan angka rasuah dalam kalangan wanita kini amat membimbangkan, kata Azam Baki seperti dilapor Bernama.

Memetik Bernama lagi, sepanjang tempoh 2017 hingga Ogos lalu, seramai 824 wanita ditahan dan daripada jumlah itu, 356 dituduh di mahkamah.

Secara terperinci, seramai 308 wanita ditahan berhubung kes tuntutan palsu; menerima rasuah (249); memberi rasuah (90) dan salah guna kuasa (82), manakala selebihnya membabitkan kesalahan lain berkaitan rasuah.

“Rata-rata mereka yang dituduh itu mempunyai kuasa, peranan dan jawatan dalam sesuatu entiti. Ketika mula-mula zaman saya masuk kerja di BPR (Badan Pencegah Rasuah), dalam masa setahun, susah hendak tangkap walaupun seorang wanita.

“Rasuah adalah mengenai orang yang mempunyai kuasa, orang yang telah diberi kepercayaan untuk melaksanakan amanah. Jadi, mereka ini diberikan tanggungjawab,” katanya pada temu bual, di Putrajaya.

Agensi itu ditubuhkan pada 1 Oktober 1967, dengan dahulunya dikenali sebagai BPR sebelum menjadi suruhanjaya bebas dikenali sebagai SPRM pada 2009.

Baca juga: Penunggang kesal disaman kerana letak motor di parkir kereta, tapi gambar yang dikongsi buat ramai turut kesal

Baca juga: Tular semula rakaman lima tahun lepas, van putih dah ‘standby’ buka pintu untuk culik budak tapi tak berjaya