Malaysia Dateline

‘Jumpa di pintu pagar masuk utama Parlimen jam 9.30 pagi ini’

Ahli-Ahli Dewan Negara tidak dapat menerima alasan penangguhan Sidang Khas Dewan Negara yang sepatutnya berlangsung hari ini.

Ketua Sekretariat Senator Pakatan Harapan (PH) Plus, Senator Raj Munni Sabu berkata, satu surat berhubung penangguhan tersebut akan dikemukakan sebentar lagi.

“Justeru itu, hari ini pada jam 9.30 pagi kami akan ke Parlimen untuk menghantar surat bagi menyatakan pendirian dan beberapa cadangan kami kepada Presiden Dewan Negara, YB Tan Sri Datuk Seri DR Rais Yatim,” katanya dalam hantaran di Facebook pagi ini.

Beliau berkata pendirian itu bagi mengangkat martabat Dewan Negara sebagai dewan legislatif negara yang perlu mengambil peranan membetulkan kekhilafan yang berlaku di Dewan Rakyat apabila Proklamasi dan Ordinan dibatalkan oleh Kabinet tanpa melalui kedua-dua dewan.

Menurutnya, tuntutan supaya Dewan Negara bersidang sekaligus menjunjung kasih Titah Yang di-Pertuan Agong agar Proklamasi dan Ordinan-ordinan Darurat dibentang dan dibahas di Parlimen bagi kedua-dua dewan.

Sebelum ini, beliau menegaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) secara kolektif telah gagal, menderhaka dan menghina sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan apabila ‘menghalang’ proses usul, perbahasan dan pengundian terhadap Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat.

Untuk rekod, bilangan Senator (Ahli Dewan Negara) adalah tertakluk kepada Fasal (1) Perkara 45, Perlembagaan Persekutuan iaitu tidak melebihi daripada 70 orang ahli.

Keanggotaan Dewan Negara terbahagi kepada dua, iaitu 44 dilantik dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong manakala 26 lagi dipilih oleh 13 Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara dengan setiap negeri diperuntukkan dua kerusi.

Pagi semalam, 107 Ahli Parlimen pembangkang termasuk Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad; Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berhimpun di Dataran Merdeka selepas dilarang masuk Parlimen.

Sehubungan itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, berkata pihaknya akan memanggil kesemua Ahli Parlimen terbabit dan individu yang terbabit dalam perhimpunan tersebut.

Siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Pemberitahuan Perhimpunan); Seksyen 12 A, Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988; Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit, 2021 (Larangan Berarak) dan Peraturan 10 peraturan sama iaitu (Kawalan Berhimpun).

Dalam perkembangan berkaitan, sekumpulan menteri dan pemimpin Bersatu di kediaman Perdana Menteri di Bukit Damansara malam tadi sekali gus mengundang persoalan berkenaan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan dan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.