Malaysia Dateline

PH, BN, GRS, GPS dan Warisan meterai perjanjian, perkukuh Kerajaan Perpaduan

Kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim diperkukuhkan dengan pemeteraian perjanjian melibatkan lima gabungan politik yang ditandatangani kira-kira jam 3.15 petang tadi.

Pakatan Harapan (PH) diwakili Anwar sebagai Pengerusinya sama seperti empat lagi blok politik diwakili pemimpin tertinggi masing-masing.

Mereka ialah Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor.

Turut menandatangani perjanjian persefahaman kerjasama berkenaan adalah Setiausaha Agong gabungan politik masing-masing iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mewakili PH; Datuk Seri Zambry Ab Kadir (BN); Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (GPS); Datuk Seri Marsidi Manjun (GRS) dan Datuk Loretto S Padua Jr (Warisan).

Anwar pada sidang media pasca Majlis Permuafakatan Antara Gabungan Kerajaan Perpaduan itu berkata, kerjasama pimpinan parti dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak menjamin kestabilan politik dan mengangkat martabat negara kita sebagai negara yang maju.

“Ini membolehkan kita menghadapi sebarang permasalahan di Parlimen dan juga di luar dengan satu suara iaitu Kerajaan Perpaduan Malaysia,” katanya.

Untuk rekod, permuafakatan kelima-lima blok parti itu secara langsung menyaksikan Anwar mendapat sokongan 144 ahli Parlimen iaitu PH (82), BN (30), GPS (23), GRS (6) dan Warisan 3 kerusi Parlimen.

Baca juga Puad tanya mana duit MPN yang dibelanjakan oleh Mahiaddin