Malaysia Dateline

Kakak baling pisau hingga adik maut direman 6 hari kelihatan sugul tiada ahli keluarga datang ke mahkamah

Seorang kakak yang mengaku membaling pisau ke arah adiknya hingga maut direman selama 6 hari kelihatan sugul apatah lagi tiada ahli keluarga yang datang ke mahkamah.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Normadiana Mamat di Mahkamah Majistret Johor Bahru bermula hari ini hingga 25 Oktober depan.|

Remaja berusia 18 tahun yang belajar di sebuah sekolah di Gelang Patah itu dibawa ke mahkamah pada 9.25 pagi.

Beliau itu kelihatan sugul manakala tiada ahli keluarga hadir ke mahkamah dan difahamkan ahli keluarganya sibuk berurusan di rumah mayat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) sehingga selesai proses bedah siasat mangsa.

Semalam, media melaporkan mangsa berusia 16 tahun disahkan meninggal dunia pada 2.30 petang dipercayai tertusuk pisau dibaling kakaknya di Kampung Ulu Pulai, Ulu Choh.

Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham akibat berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah.

Polis menerima panggilan berhubung kejadian pada 2.15 petang semalam.

Hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada pergaduhan adik-beradik.

Ibu mangsa mendakwa mangsa bergaduh dengan kakaknya berikutan berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah.

Kakak mangsa mengaku membaling pisau ke arah mangsa selepas dipersenda ketika masuk ke rumah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Baca juga: Dua beradik bergaduh rebut tempat duduk dalam kereta sebelum adik maut tertusuk pisau dibaling kakak