Malaysia Dateline

Kalau berani sila usul…

Kalau berani sila usul Menteri di Jabatan Perdana Menteri dirujuk ke Jawatan Kuasa Hak dan Kebebasan di bawah Peraturan Mesyuarat 80A Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat kerana menghina Majlis.

Pada 1 MAC 2022 Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Madius Tangau dari UPKO yang merupakan salah seorang penandatangan Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MOU) bersama Kerajaan Persekutuan bertanya di Dewan Rakyat, sejauh manakah pencapaian MOU tersebut setakat ini.

Dalam jawapannya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Dato’ Sri Dr. Haji Wan Junaidi menghuraikan pencapaian MOU setakat ini dengan panjang lebar.

Penelitian terhadap jawapan tersebut menunjukkan terdapat beberapa perkara yang boleh dianggap menipu dan/atau mengelirukan Dewan.

Jawapan tersebut boleh dilihat di muka surat 5 dan 6 iaitu berkaitan Akta Anti Lompat Parti dan tempoh had jawatan Perdana Menteri.

Jawapan Menteri di para (g) muka surat 5 menyatakan :

“g. Pindaan perlembagaan bagi peruntukan Anti Lompat Parti akan dibentangkan pada sesi Parlimen bulan Mac 2022 ini.”

Begitu juga di para (g) muka surat 6 yang menyatakan :

“g. Pindaan perlembagaan bagi peruntukan Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri tidak Melebihi 10 tahun akan dibentangkan pada sesi Parlimen bulan Mac 2022 ini.”

Kedua-dua jawapan ini menyatakan pindaan Perlembagaan bagi peruntukkan Anti Lompat Parti dan pindaan Perlembagaan bagi pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri akan dibentangkan pada sesi Parlimen bulan Mac 2022.

Seperti yang kita semua maklum, kedua-dua cadangan ini khususnya Anti Lompat Parti masih belum diluluskan oleh Jemaah Menteri berdasarkan kepada kenyataan media rasmi Menteri yang sama.

Malah kita juga maklum sehingga hari ini Rabu 23 Mac 2022 yang merupakan hari kedua terakhir sesi Parlimen Mac 2022, tiada bayangan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti atau pindaan Perlembagaan berkaitan perkara tersebut akan dibentangkan.

Kalau berani sila usul...
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Dato’ Sri Dr. Haji Wan Junaidi

Jika pada Khamis 24 Mac 2022 yang merupakan hari terakhir sidang masih belum ada usul di dalam Aturan Urusan Mesyuarat untuk pembentangan, maka ini jelas suatu penipuan dan mengelirukan Dewan.

Justeru sewajarnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri dirujuk ke Jawatan Kuasa Hak dan Kebebasan di bawah Peraturan Mesyuarat 80A Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat kerana menghina Majlis.

Saya cabar mana-mana Ahli Dewan khususnya Ketua Pembangkang mengusulkan perkara ini kepada Majlis.

Tiada alasan untuk membiarkan kamu semua dipermain hidup-hidup oleh Kerajaan di atas MOU kamu.

Sila…

Baca juga: https://malaysiadateline.com/tony-pua-aset-penting-kepada-dap-harap-terus-khidmat-kepada-parti-kata-anthony-loke/