Malaysia Dateline

Timbalan Menteri kena kecam selepas benar-benar kagumi ‘mat rempit TikTok’

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kena kecam sejak malam tadi selepas memuat naik hantaran mengenai Haqiem Stopa yang dilabelkan warganet sebagai ‘mat rempit TikTok’.

Wan Ahmad Fayhsal yang merupakan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu berkata, dia semalam menerima kunjungan pemuda berusia 22 tahun yang disifatkannya terkenal dengan jolokan “ikon permotoran anak muda”.

“Saya benar-benar berasa kagum dengan semangat dan keikhlasan saudara Haqiem yang menyatakan keinginannya untuk menggunakan popularitinya sebagai platform menyatupadukan belia di negara ini.

“Haqiem yang terkenal menerusi platform TikTok sering berkongsi video-video yang membakar semangat untuk kita untuk terus berjuang selain memupuk sikap saling menghormati dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Dia juga memberitahu Haqiem akan turut serta dalam acara sambutan ulang tahun ke-10 Santai Anak Utara (SAU) yang bakal dijalankan dalam masa terdekat.

“Ayuh anak muda, kita bersatu membina negara!” tulis Wan Fayhsal lagi.

Aksi Haqiem Stopa bertongkat ketika bergambar dengan Wan Fayhsal juga menarik perhatian warganet.

Bagaimanapun, Ketua Bersatu Bahagian Titiwangsa itu dihujani serangan warganet dengan lebih 3,000 komentar dan 2,000 tanda emoji ketawa selepas 10 jam dikongsi di Facebook rasminya.

Rata-ratanya menempelak dan menyindir Wan Fayhsal selain menyarankan orang politik itu untuk mengangkat atlet permotoran yang juga bekas pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah sebagai ikon anak muda.

“Ramai lagi pelumba negara yang masih aktif dan tidak aktif boleh diketengahkan untuk bangkitkan semangat anak muda,” kata Noor Azlan Nardi.

Sementara itu, Muhamad Raziz Rahim secara sinis berharap Haqiem Stopa yang dijadikan ikon itu boleh menyelesaikan krisis makanan dan masalah kenaikan kos sara hidup di negara ini.

“Ada agenda yang lebih jelas perlu dititikberatkan. Apapun, tahniah ikon saya, bangga dengan perjuangan anda,” tambahnya.

Tidak kurang juga yang mempersoal pencapaian Haqiem Stopa yang turut dilihat bertongkat semasa bergambar dengan Wan Fayhsal semalam.

“Apa pencapaian dia sampai boleh diangkat menjadi tokoh? Setakat budak-budak TikTok tak payahlah. Ramai lagi yang elok boleh dijadikan contoh. YB pun sama, benak ubi,” kecam Wan Muhammad Fahmie.

Dalam masa sama, ada yang menganggap tindakan mengangkat Haqiem Stopa benar-benar mahu mencari publisiti murahan selain mengaitkan dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang mendasari kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Inilah YB Keluarga Malaysia yang rakyat dambakan dulu sampai nak sangat tukar kerajaan tu. Takziah Melayu,” sindir Syifa Lokman pula.

Baca juga Kalau saya curi duit Armada, kenapa Wan Fayhsal pujuk saya sokong PM?

Baca juga Pelajar tahfiz lari sebab tak tahan diliwat senior sejak 2020