Lebih baik bagi Datuk Seri Hishamuddin Hussein meletakkan jawatan sebagai Menteri Pertahanan sekiranya gagal untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat skandal Kapal Tempur Pesisir (LCS).
Malah kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang, RCI perlu ditubuhkan bagi menyiasat skandal tersebut yang melibatkan sebanyak RM9 bilion dan bukannya satu jumlah yang kecil.
“Hishamuddin telah berulang kali menyatakan bahawa Kementerian Pertahanan tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan dan penubuhan RCI adalah bagi menyiasat skandal LCS dan ia menjadi bukti bahawa tiada apa yang disembunyikan oleh Kementerian Pertahanan.
“RCI juga perlu menyiasat kenapa Menteri Pertahanan secara bersendirian dan tiba-tiba mengubah keputusan mengenai Sistem Pengurusan Tempur (CMS) dari sistem TACTICOS yang dipilih pihak TLDM kepada sistem SETIS.

” Adakah perolehan LCS yang melibatkan kos RM9 bilion mencapai tujuan pertukaran teknologi atau adakah ia hanya merupakan satu kehilangan peluang memandangkan pengeluar LCS Sigma dari Belanda bersedia untuk menjadikan Malaysia sebagai hub pengeluarannya,” ujar beliau melalui pautan Facebooknya.
Tegasnya lagi, mengapakah perlu digunakan orang tengah yang telah menyebabkan peningkatan harga sebanyak tiga hingga empat kali ganda dan kerugian sehingga RM1bilion dalam perolehan LCS tersebut.
Sehubungan itu soal beliau apakah reformasi Parlimen dan perubahan institusi yang diperlukan bagi mengelakkan skandal seperti skandal LCS yang melibatkan RM9 bilion ini berulang lagi kerana ia bukan sahaja membahayakan keselamatan dan kedaulatan negara, tetapi juga menjejaskan kepentingan anggota dan pesara tentera.
Baca juga: Taktik ‘delay’ kes dalam permohonan tarik diri peguam