Malaysia Dateline

Kalau PDM banjir, bagaimana? SPR perlu ada SOP luar jangka PRU-15

Prosedur operasi standard (SOP) bagi keadaan luar jangka pada hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) perlu memandangkan risiko impak Monsun Timur Laut (MTL).

Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya Abd Aziz, berkata SOP itu termasuklah jika pusat daerah mengundi (PDM) terbabit dengan banjir.

“Saya risau dengan persiapan SPR untuk menghadapi pilihan raya itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amira Aisya Abd Aziz

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) telah mengingatkan bahawa PRU-15 tidak wajar dilakukan tahun ini khususnya dalam keadaan perubahan iklim yang sedang berlaku.

Komuniti pengurusan bencana juga secara umum tidak menggalakkan untuk diadakan PRU-15 memandangkan banyak lokasi di seluruh Malaysia menghadapi kemungkinan bencana banjir sepanjang tempoh peralihan MTL.

Pihak MET Malaysia juga menegaskan bahawa MTL dijangka bermula pada pertengahan November 2022 dan berakhir pada Mac 2023.

Dalam tempoh itu, empat hingga enam episod hujan lebat berterusan yang signifikan dan boleh mendatangkan banjir dijangka berlaku semasa fasa aktif MTL iaitu dari November 2022 hingga Januari 2023.

Di Kelantan, Terengganu dan Pahang, episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku antara November hingga Disember 2022.

Sementara itu, episod hujan lebat berterusan dijangka lebih tertumpu di Johor, Sabah dan Sarawak mulai Disember 2022 hingga Februari 2023.

Bagaimanapun, hujan lebat berterusan juga boleh berlaku di negeri pantai barat jika luruan monsun kuat dan atau kewujudan sistem tekanan rendah di rantau negara dan kebanyakan tempat dijangka menerima jumlah hujan bulanan pada paras purata pada MTL 2022/2023.

Baca juga Walau 20 peratus pelari luar negara, perlumbaan larian denai tetap diteruskan hari buang undi

Baca juga Makan lobak untuk elakkan rabun sebenarnya mitos, hanyalah kempen masa perang dunia kedua