Malaysia Dateline

‘Kalau sekarang bersara pun lagi cantik’, rakyat lebih suka ‘dinasour politik’ bersara sebelum PRU15

Rakyat sebenarnya lebih suka orang politik yang sudah berusia emas ditambah mempunyai rekod mengkhianati mandat rakyat bersara sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Reaksi itu dapat dilihat susulan kenyataan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini yang memberi bayangan sedia untuk bersara daripada politik selepas PRU15.

“Kalau sekarang bersara pun lagi cantik,” tegas pengguna Facebook, Wahie Anuar manakala Mohd Ismail menulis, “Biar rakyat bersarakan dia (Muhyiddin) pada PRU15 ini, lagi elok.”

Sementara itu, Rizal Mansor berpendapat umur melebihi 60 tahun sudah tidak efektif dan tidak produktif lagi untuk memimpin negara.

“Patut orang politik bersara wajib macam kakitangan kerajaan dan swasta,” cadangnya lagi.

Rekod Presiden Bersatu itu yang dilantik ke jawatan Perdana Menteri ekoran Langkah Sheraton yang membawa kepada tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) juga kembali diungkit warganet.

“Rakyat dan seluruh alam cakerawala sambut baik kenyataan Muhyidin. Bersaralah awal. Nama pengkhianat akan dikenang sepanjang zaman,” tempelak Malieq Mohamed.

Bagi Nadzri Yusof pula, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu memang patut pun bersara kerana parti dipimpinnya itu akan terjun longkang pada PRU15.

Ramai juga netizen yang berharap bukan sahaja Muhyiddin bahkan ahli politik lain yang tidak bekerja untuk rakyat supaya berundur sebelum PRU15.

“Jadikanlah penggal penuh dramatik ini sebagai pengakhirannya. Silalah bersara. Samalah juga dengan dinasour-dinasour politik lain. Sudah tiba masa untuk kalian jadi artifak,” kata Faizal Maliami.

Muhyiddin dalam satu program di Kuala Terengganu, seperti dipetik Free Malaysia Today berkata, jika bersara, dia ingin berehat dan meluangkan masa dengan keluarganya.

Katanya, dia akan bersara dari politik mungkin penggal akhir kemudiannya berehat sahaja duduk di rumah dengan isteri dan cucu-cucu.

“Mungkin sudah sampai masa, tapi mungkin juga kalau keadaan mendesak dan memerlukan insya-Allah kita akan fikirkan perkara itu,” katanya lagi.

Baca juga Nama rasmi PM kini Mahiaddin Md Yasin bukan lagi Muhyiddin Yassin