Kamarul Zaman dilantik pegawai khas PMO sejak Disember tahun lalu

Oleh KIM SYAZIE

Pensyarah kontroversi, Dr Kamarul Zaman Yusoff dilaporkan telah dilantik sebagai pegawai khas di Pejabat Perdana Menteri (PMO) sejak Disember tahun lalu atau kira-kira enam bulan lepas.

Memetik MalaysiaGazette, Kamarul mengesahkan dia kini menyandang jawatan sebagai pegawai khas kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tetapi dia tidak mahu menghebahkan perkara itu kerana tidak mahu mengejar publisiti.

“Saya telah mula menjawat jawatan pegawai khas sejak Disember lepas lagi, cuma sengaja saya tidak mahu hebahkan kerana saya lebih suka bekerja secara senyap-senyap.

“Saya bukanlah orang yang suka mengejar publisiti dan lebih suka bersikap low-profile sambil bekerja di balik tabir.

“Apatah lagi bila tugasan saya di Pejabat Perdana Menteri tidak membabitkan kerja-kerja politik ataupun perkara-perkara dasar,” katanya seperti dilapor MalaysiaGazette.

Pelantikan Kamarul mula diketahui selepas Pejabat Perdana Menteri merujuknya sebagai pegawai khas Ismail di media sosial untuk mempromosikan program Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu.

Sebelum ini, Kamarul banyak terpalit dengan kontroversi apabila memfailkan saman terhadap beberapa pemimpin pembangkang termasuk pemimpin dari AMANAH dan DAP.

Antaranya membabitkan saman fitnah yang dibawa oleh Kamarul terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad. Namun saman tersebut ditolak oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Sementara itu, mahkamah sama turut membatalkan saman fitnah Kamarul terhadap tujuh pemimpin DAP kerana arahan hakim bicara tidak dipatuhi.

Pensyarah itu juga menerima pelbagai saman fitnah, termasuk difailkan oleh Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh pada Mac berhubung catatan Facebook yang dibuatnya pada 2017.

Baca juga: Aeril Zafril dikecam gara-gara satu komen dianggap tak sensitif pada Ustaz Kazim

Baca juga: Akaun media sosial kerajaan Singapura diserang pengikut Ustaz Somad