Malaysia Dateline

Kapal tangki saja gah milik syarikat Malaysia tapi kapten, pegawai kanan warga asing – Apa dah jadi dengan nasib pelaut kita?

Kapal tangki saja gah milik syarikat Malaysia tetapi kapten dan pegawai kanan terdiri daripada warga asing. Realitinya, pelaut negara kita terpaksa bersaing dengan rakyat asing untuk mendapatkan pekerjaan.

Kerajaan patut ‘mengajar’ sikap syarikat kapal yang berdaftar dengan negara tetapi hanya mementingkan laba dengan membayar gaji rendah kepada pelaut asing yang dibimbangi akan membunuh masa depan pelaut tempatan.

Ikuti luahan SALEHI HASSAN yang lebih 30 tahun bekerja sebagai malim pelabuhan berkenaan cabaran dan nasib sebagai pelaut anak watan:

“Sejak sekolah Kelautan Malaysia ditubuhkan kemudian dinaik taraf kepada Akademi Laut Malaysia (ALAM), beratus ribu pelaut Malaysia dilahirkan daripada pegawai dek, pegawai radio, tukang masak hingga ke kelasi dilatih di sini.

Saya adalah salah satu produk dari ALAM. Saya belajar di sana pada tahun 1984 sebagai kadet dek. Selepas bergraduan kami menjalani latihan di kapal sebagai kadet beberapa tahun hingga mendapat sijil Kelas 3, Kelas 2 dan seterusnya Kelas 1 iaitu Master.

Dulu ada beberapa syarikat yang memberi biasiswa kepada kadet dan rating seperti MISC, PERNAS, JPA, Pelabuhan dan syarikat kapal persendirian.

Untuk latihan, kami sebagai kadet di atas kapal, kami tiada masalah mencari kapal kerana masa itu MISC adalah salah satu gergasi perkapalan dengan mempunyai puluhan kapal dagang.

Ada kapal kontena, kargo pukal, kapal tangki minyak dan sebagainya. Di sini kami lepasan ALAM bertaburan di kapal-kapal ini menjalani latihan bagi mendapatkan ‘seatime’ untuk melayakkan kami balik menduduki peperiksaan.

Masa kadet di kapal kami melakukan kerja bersama kelasi seperti mengecat, mengetuk karat, mencuci petak kargo, sapu gris wayar kren, pam air tangki dan segala kerja seorang pelaut.

Sebelah malam, kami akan berada di atas bridge atau anjungan untuk belajar cara-cara navigasi kapal.

Pelajar di ALAM mengambil bahagian dalam perbarisan sambutan kemerdekaan 8211 Gambar hiasan

Saya bukan nak cerita panjang pengalaman kerja di kapal tetapi apa yang nak saya ketengahkan di sini adalah nasib pelaut kita sekarang.

Sekarang sudah tiada syarikat yang menawarkan biasiswa kepada pelajar di ALAM. Mereka terpaksa bayar sendiri kos belajar yang tinggi hampir RM100,000. Terpaksalah ambil pinjaman PTPTN atau lain-lain pembiayaan.

Dengan tagline ‘You get paid to see the world’, maka bersemangatlah anak muda lepasan SPM memohon untuk belajar di ALAM.

Apa yang menjadi masaalah sekarang ialah apabila pelajar ini sudah bergraduan, mereka terpaksa mencari syarikat kapal sendiri untuk menjalani latihan di kapal.

Pada akhir 1990-an sewaktu krisis kewangan, MISC telah mengalami kerugian teruk dan telah menjual hampir kesemua kapal-kapalnya.

Jadi, sekarang hanya tinggal syarikat kapal kecil saja yang ada untuk pelajar ini menjalani latihan.

Yang menyedihkan syarikat-syarikat ini tidak bersemangat untuk mengambil kadet-kadet bekerja di atas kapal mereka. Bagi mereka kadet ini hanya sebagai penumpang yang dibayar gaji saja.

Sebenarnya, kadet-kadet ini boleh melakukan kerja sebagaimana kerja kelasi dan ada kalanya lebih baik lagi. Jadi, tiada isu kadet tidak boleh buat kerja.

Atas sebab kurangnya kapal untuk buat latihan dan kurangnya kerjasama dari tuan punya kapal maka ada pelajar yang tidak menyambung lagi pelajaran.

Mereka terpaksa mencari kerja lain di darat dan terpaksa membayar wang pembiayaan masa belajar dulu.

Selama 32 tahun saya bekerja sebagai Malim Pelabuhan, saya dapat lihat perubahan ketara pelaut-pelaut dari Vietnam, Indonesia, Myanmar dan Filipina.

Mereka banyak belayar di kapal-kapal luar sehingga mendapat kepercayaan syarikat-syarikat besar luar negara.

Saya lihat satu kapal tangki Norway semua krunya dari Filipina. Kapal kargo Jerman satu kapal dikendalikan oleh kru Myanmar. Kapal kontena Taiwan dikendalikan sepenuhnya oleh kru dari Indonesia.

Di manakah pelaut-pelaut Malaysia? Apakah hanya sekadar belayar di perairan Malaysia atau menjadi hamba di kapal sendiri?

Saya pernah bawa kapal tangki baru kepunyaan syarikat Malaysia, berdaftar di Malaysia tapi Kapten dan pegawai kanannya dari Myanmar dan orang Malaysia hanya yang pangkat bawahan serta kelasi saja. Apa sudah jadi?

Adakah syarikat kapal hanya pentingkan keuntungan saja bila boleh membayar gaji yang rendah kepada pelaut luar yang akhirnya membunuh pelaut kita sendiri?

Untuk pengetahuan semua, standard pembelajaran kami di ALAM adalah tinggi setanding dengan pembelajaran di UK.

Oleh sebab itu, ada pelajar luar yang datang belajar di ALAM. Tapi sayang pelaut Malaysia dipandang rendah di negara sendiri.

Kementerian Pengangkutan perlu melihat perkara ini dengan serius. Jangan hanya berjanji semasa konferens sahaja tetapi tidak ada tindakan susulan.

Buat pelaut semua, demi masa depan kita semua, bangkitlah biar suara kita didengar dan jangan hanya tunggu peluang kerja di Malaysia saja.

Keluar dan cubalah bekerja di syarikat syarikat luar yang menawarkan kerja dan gaji yang lumayan. Jangan bergantung kepada syarikat yang hanya ‘menyusukan kera di hutan’.

Baca juga Mana semangat jiwa Malaysia? Mansuhkan permit bagi pelaut Semenanjung yang ingin kerja di perairan Sabah, Sarawak

Baca juga Ugut kanak-kanak guna bahan pornografi, lelaki warga asing ditahan