Kaum hawa pun sama kecam ‘content’ isteri biadab dengan suami, calon isi neraka

Oleh ARIF ATAN

Ramai golongan hawa dilihat mengecam penghasil kandungan atau ‘content creator’ di media sosial yang cenderung dan kerap memaparkan watak isteri bersikap biadab dan marah-marah dengan suami.

Rata-rata warganet termasuk perempuan berpendapat trend kandungan dengan watak isteri bercakap kasar di depan suami itu tidak ubah seperti melahirkan lebih ramai calon isi neraka.

Walaupun hanya ‘content’ tetapi majoriti kaum wanita berpendapat tidak perlu menormalisasikan perangai isteri yang bercakap kasar dengan suami.

Deretan kecaman termasuk yang meninggalkan komentar ringkas seperti, “content sampah” itu dilihat dalam satu video dengan kapsyen, “Betul ke ni soalan maut bagi lelaki?”

Dalam video yang dikongsi menerusi Facebook Reels atas akaun AwanazStyle itu, si isteri mulanya dilihat membebel mengenai banyak baju tidak berlipat dan makanan ringan yang dibeli tetapi tidak dimakan.

Namun, suaminya yang sedang menonton televisyen sekadar mendiamkan diri sambil mendengar saja isterinya membebel itu dan ini.

Si isteri kemudiannya terjumpa sebuah kamera di atas almari sebelum suaminya mengaku itu adalah miliknya.

“Berapa ratus ni awak beli? RM300 ke?” tanya si isteri serentak dijawab suaminya dengan berdalih, “Aaah, betul! Murah je ada promosi hari tu.”

Namun, isterinya dilihat tidak berpuas hati lantas menyemak harga sebenar kamera itu menerusi aplikasi di telefonnya. Dia kemudiannya terkejut apabila mendapati barang itu melebihi RM3,000.

Babak seterusnya beralih kepada suaminya yang menerima bungkusan baju daripada penghantar.

“Awak beli apa ni?” giliran suaminya pula menyoal sebelum dijawab isterinya secara biadab, “baju” tetapi lelaki itu menegaskan bahawa 20 helai baju dengan harga kesemuanya berjumlah RM700 adalah mahal.

“RM700 mahal? RM3,000 tu murah la?” bidas isterinya kembali dengan muka tidak puas hati sambil merampas bungkusan baju itu dari tangan suaminya.

Sambil berlalu pergi dan membiarkan si suami terkebil-kebil, si isteri menjawab bahawa dia menggunakan duit suaminya untuk membeli baju-baju itu.

Susulan lakonan itu, hampir kesemua reaksi yang di ruangan komentar melontarkan kecaman kepada penghasil kandungan terlibat.

Takde adab betul bini dia,” selar Adilah Ismail manakala Dayang Haziawati menulis, “Kasarnya bahasa isteri.”

Selain menganggap ‘content’ tersebut sebagai melampaui batas dan dibimbangi menjadi ikuti generasi isteri berusia muda, netizen mengingatkan bahawa masyarakat tidak harus membudayakan komunikasi kasar antara suami isteri.

“Walaupun sama kaum perempuan, tapi menjengkelkan tengok perempuan macam ni.

“Jangan biasakan ‘perempuan selalu betul’,” tegas TZ Aisyah pula.

Baca juga Hina agama tidak boleh dikompromi, kenakan tindakan tegas sebagai pengajaran

Baca juga Pukul dulu baru lapor, lelaki curi getah cedera dipukul orang awam