Malaysia Dateline

Banjir di Kelantan bertambah buruk, 9 jajahan ditenggelami air

Keadaan terkini banjir melanda di Kelantan bertambah buruk apabila sembilan jajahan di negeri Pantai Timur itu sudah ditenggelami banjir susulan hujan lebat sejak semalam.

Perkembangan terbaharu ini sekaligus menyaksikan 9,214 mangsa telah ditempatkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Jajahan Pasir Mas menempatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 3,184, diikuti Tanah Merah (1,327), Pasir Puteh (1,070), Kuala Krai (832), Machang (814), Kota Bharu (807), Bachok (448) Tumpat (223), dan Jeli (207).

Sementara itu MyPublic Infobanjir menunjukkan enam sungai di negeri ini sudah melepasi paras bahaya iaitu Jambatan Melor (Bachok), Sungai Lebir Kampung Tualang (Kuala Krai), Sungai Golok (Rantau Panjang), Sungai Golok (Tanah Merah), Sungai Golok (Tumpat) dan Sungai Jenob (Tanah Merah).

Laman sesawang infobencanajkmv2.jkm.gov.my setakat pukul 8.42 pagi tadi menunjukkan sebanyak 2,724 keluarga ditempatkan di 82 PPS.

Sementara itu, kerajaan negeri belum mempunyai maklumat terperinci mengenai pelan jangka panjang pengurusan banjir yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semasa melakukan lawatan ke pusat pemindahan sementara (PPS) banjir di Rantau Panjang baru-baru ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, setakat ini perbincangan berkenaan pelan jangka panjang pengurusan banjir adalah di antara Ahmad Zahid dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

“Saya sendiri belum mengetahui secara terperinci berhubung pelan jangka panjang pengurusan banjir yang diumumkan itu, jadi tidak dapat mengulas lanjut mengenainya.

“Kebiasaannya perkara-perkara sebegini akan diuruskan oleh Kerajaan Persekutuan dan di pihak kerajaan negeri kita akan menerima apa sahaja yang telah diputuskan,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu memberitahu, berikutan peruntukan untuk pelan berkenaan dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan maka pihak berkenaanlah yang akan membuat keputusan termasuk pelantikan kontraktor dan sebagainya.

Kerajaan Perpaduan merangka satu pelan jangka panjang berkait pengurusan banjir sehingga tahun 2100 bagi memastikan masalah tersebut dapat diatasi.

Baca juga: Kerajaan Perpaduan Anwar Ibrahim akan hadapi ujian pertama hari ini