Malaysia Dateline

Kerajaan Perpaduan Anwar Ibrahim akan hadapi ujian pertama hari ini

Kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berhadapan ujian pertama hari ini apabila Usul Undi Percaya akan dibentangkan oleh kerajaan beliau di Dewan Rakyat.

Pembentangan usul undi percaya bagi keabsahan pelantikan Anwar yang mengangkat sumpah jawatan pada 24 November sebagai perdana menteri ke-10, terkandung pada nombor lapan Aturan Urusan Mesyuarat.

Ia bertujuan membuktikan beliau mendapat sokongan ahli Parlimen bagi memimpin Kerajaan Perpaduan selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah.

Anwar mengumumkan beliau akan memanggil sidang Dewan Rakyat untuk membuat undi percaya kepada beliau selaku Perdana Menteri.

Ketua-ketua parti dalam Kerajaan Perpaduan menandatangani MoU untuk memastikan usul undi percaya berjalan lancar hari ini.

Jumaat lepas, semua pemimpin parti dalam Kerajaan Perpaduan menandatangani MoU untuk mempastikan undi percaya berjalan dengan baik hari ini.

Sebelum urusan itu, seorang Speaker Dewan Rakyat yang baru akan dilantik di mana usul mengenainya berada di tempat kedua dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini.

Ia akan dilakukan selepas semua ahli Parlimen yang terpilih dalam pilihan raya umum ke 15 lalu mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan.

Dewan Rakyat juga akan memilih timbalan-timbalan Speaker hari ini di mana aturannya terletak pada nombor lima.

Bekas ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul disebut-sebut menjadi pilihan Pakatan Harapan (PH) sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat menggantikan Tan Sri Azhar Harun yang memaklumkan beliau akan mengosongkan kerusi itu.

Perikatan Nasional (PN) pula dikatakan mencalonkan bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad bagi jawatan itu.

Selain itu, ahli Parlimen Lanang daripada DAP Alice Lau dan ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Md Nor daripada Barisan Nasional (BN) dilapor dicalonkan bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

PN pula mencalonkan nama bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Mas Ermieyati Samsudin dicalonkan PN untuk jawatan sama.

BACA JUGA Undi percaya: MP yang tidak ikut ketetapan parti berisiko besar