Malaysia Dateline

Kecewa dengan politik negara, Agong tiada pilihan lain selain perkenan bubar Parlimen – Istana Negara

Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, tidak mempunyai pilihan lain selain terpaksa memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen, kata Istana Negara.

Dalam satu kenyataan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata, baginda Al Sultan juga menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa negara.

Justeru, katanya, Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat menjalankan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam tempoh terdekat, dengan mengambil kira Monsun Timur Laut yang diramal bermula pertengahan November ini.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa dan Baginda tidak mempunyai pilihan selain memperkenankan permintaan YAB Perdana Menteri bagi memulangkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang stabil.

“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa negara yang kukuh adalah penting bagi menjamin kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi yang berterusan demi kesejahteraan negara dan rakyat , secara keseluruhannya,” kata kenyataan Istana.

Baginda Al Sultan pada semalam telah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Istana Negara (9 Oktober 2022) .

Dalam sesi menghadap yang tidak berjadual bermula pada jam 12 tengah hari itu, Perdana Menteri telah mengemukakan sembah permintaan beliau untuk perkenan Seri Paduka Baginda bagi pembubaran Parlimen ke-14 berkuatkuasa pada 10 Oktober 2022.

Menurut kenyataan Istana, setelah memperhalusi permintaan tersebut, maka Seri Paduka Baginda selaras dengan kuasa-kuasa Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong sepertimana yang termaktub di bawah Perkara 40 ( 2 ) ( b ) dan Perkara 55 ( 2 ) Perlembagaan Persekutuan telah memperkenankan permintaan YAB Perdana Menteri bagi pembubaran Parlimen ke – 14 .

Pada masa sama, Seri Paduka Baginda turut menyeru rakyat mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk musibah, khususnya bencana banjir.

Baca juga: Agong perkenan pembubaran Parlimen hari ini