Malaysia Dateline

Kehadiran Peguam Negara di rumah Mahiaddin malam tadi dipersoal

Kehadiran Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dalam perbincangan politik di kediaman Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin di Bukit Damansara malam tadi dipersoal.

Abang kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan itu difahamkan individu pertama tiba di rumah Mahiaddin jam 8.20 malam.

“Apabila semua ini selesai, kita perlu mengajukan soalan panjang dan sukar mengapa AG (Peguam Negara) turut serta dalam mesyuarat politik ini,” kata peguam Syahredzan Johan dalam ciapan Twitter hari ini.

Kenderaan yang membawa Idrus antara lebih 20 kenderaan yang pulang melepasi pondok pengawal rumah Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.

Kemelut politik dan ketidakstabilan kerajaan pada masa ini berlaku ketika negara sedang dilanda pertambahan kes baharu positif Covid-19 dan kematian akibat pandemik itu yang semakin membimbangkan.

Setakat semalam, terdapat 203,664 kes aktif dengan jumlah kematian sebanyak 9,598 kes manakala seramai 1,066 pesakit dirawat di ICU termasuk 537 orang daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

Dalam masa sama, program vaksinasi pula dilihat masih perlahan dengan hanya 44.3 peratus daripada populasi negara sudah mendapat dos pertama, manakala cuma 22 peratus telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 sehingga 2 Ogos lalu.