Malaysia Dateline

Kekerapan tren LRT dalam usaha dipertingkat kepada tiga minit berbanding lima minit – Anthony Loke

Usaha penambahan tren sedang dilakukan bagi mempertingkatkan kekerapan perjalanan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya daripada lima minit kepada tiga minit bermula tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bagaimanapun berkata, dalam tempoh ini pihaknya masih tidak dapat memberi komitmen untuk menurunkan kepada tiga minit ekoran hanya 38 daripada keseluruhan 56 set tren beroperasi.

Baki 18 set lagi sedang dalam penyelenggaraan.

Kerja-kerja penyelenggaraan bagi 18 set berkenaan hanya akan siap sepenuhnya menjelang suku ketiga 2023, walaupun ada yang dijangka kembali beroperasi lebih awal.

Selain itu kata beliau, Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad telah memberikan komitmen termasuk untuk mempercepatkan penyelenggaraan tren sedia ada dan penambahan sebanyak 19 set tren.

“Secara keseluruhan ada 56 set tren dan setakat ini yang beroperasi hanya 38 unit kerana ada selebihnya dalam proses penyelenggaraan. Itu sesuatu yang tidak memuaskan. Kita mahu secara optima.

“Kita mahu lihat kekerapan tren paling minima tiga minit satu tren. Kita mahu frekuensi tiga minit untuk setiap tren. Jadi bermula dari sekarang kita akan cuba tambah tren supaya kekerapan dapat ditambah.

“Tapi dalam tempoh ini kita tidak dapat berikan komitmen tiga minit, kekal lima minit tapi tidak bermakna kekerapan lima minit itu statik. Kalau ada tren tambahan kita boleh percepatkan kurang lima minit.

“Kita akan tambah kekerapan secara berkala dan kita akan kurangkan kepada tiga minit menjelang suku ketiga 2023,” katanya dalam sidang media hari ini.

Loke turut memaklumkan akan terus memantau perjalanan LRT Kelana Jaya secara peribadi.

“Semoga perkhidmatan akan lebih stabil menjelang suku ketiga 2023. Saya ingin memberikan komitmen bahawa saya memberi perhatian serius terhadap isu laluan Kelana Jaya dan saya akan memantaunya secara peribadi,” katanya.

Baca juga: Sany mohon perkenan Agong tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja siasat penyelewengan dana RM600 bilion

Baca juga: Nafi kalau mati dikebumi sebagai lelaki, netizen doa Sajat diberi hidayah sebelum terlambat