Malaysia Dateline

Kekuatan Muda sudah disaksikan di Johor, PH wajar pertimbang terima penyertaan Muda – Pemuda AMANAH

Keterbukaan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang bersetuju untuk memohon menyertai gabungan Pakatan Harapan, perlu dilihat sebagai satu pendekatan baik bagi mengelakkan pertembungan sesama parti pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lalu juga telah menyaksikan ukuran kekuatan Muda, di mana menurut sayap pemuda AMANAH, ia mampu mengambil sebahagian dari undi blok Pakatan Harapan. 

Disebabkan itu, adalah lebih baik jika PH menerima penyertaan Muda supaya mereka tidak menjadi ‘loose cannon’ pada PRU-15 nanti, kata Setiausaha Pemuda AMANAH Terengganu, Muammar Qaddafi.

“Parti Muda pada 16 September lalu mengumumkan mereka bersetuju untuk menyertai Pakatan Harapan. Walaupun sedikit janggal dengan terma yang digunakan iaitu ‘bersetuju untuk menyertai’, sedangkan harus digunakan ‘bersetuju untuk memohon menyertai’ memandangkan pakatan tidak pula mempelawa mereka. 

“Keterbukaan untuk berbincang soal menerima Muda adalah satu pendekatan baik bagi mengelakkan pertembungan sesama parti pembangkang yang akan lebih menguntungkan lawan.

“Namun ia tidak sepatutnya meletakkan Pakatan Harapan pada kedudukan terpaksa “mengalah” pada kadar melebihi sepatutnya pada sebuah parti baru, yang tidak akan mampu pergi lebih jauh pun tanpa gabungan Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline hari ini.

Bagaimanapun Muammar melihat, walau misi mengelak pertembungan ini penting, PH tidak boleh berada pada kedudukan boleh diugut, ‘kalau tidak beri kami akan bertanding lawan kamu’ , sebaliknya keputusan rundingan adalah atas dasar merit, dan serba sedikit, senioriti. 

Menjadi sebahagian anggota Pakatan Harapan bermaksud Muda perlu akur kepada konsensus. Pelanggaran kepada konsensus akan menyebabkan kesan buruk kepada parti itu sendiri, kata Muammar.

“Pengumuman pimpinan MUDA dalam sidang media yang sama, mensasarkan tidak lebih dari 15 kerusi parlimen pada PRU15. Saya percaya, 1 dan 2 kerusi juga adalah tidak lebih dari 15 kerusi. 

“Pakatan Harapan perlu menggunakan strategi paling ampuh, pada PRU15 supaya boleh menang. Ini dilihat adalah PRU yang terakhir bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim. Segala emosi dan persengketaan perlu dikurangkan,” katanya lagi.

Baca juga: “Mampu ke nak taja kami semua?”, Rupanya ramai dah terkena dengan PA Khairul Aming bermulut puaka, kekwat

Baca juga: BNM naikkan OPR tiga kali berturut tahun ini, kini naik kepada 2.5 peratus