Keputusan Zuraida Kamaruddin bertindak keluar daripada Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), selain tidak mengejutkan dan sudah dijangka, ia juga tidak menukar hakikat masa depannya yang sedia gelap kepada terang-benderang.
Ia turut tidak menukar imej politik dirinya yang dilabel pengkhianat sejak meninggalkan PKR kepada wanita srikandi berhati suci.
Apatah lagi, dalam Bersatu yang disertainya sebaik keluar PKR, beliau tidak terkecuali terpalit dengan masalah disiplin dengan tidak hadir mesyuarat sebanyak beberapa kali sehingga diberikan surat tunjuk sebab atas perlakuan buruknya itu.
Apakah pemimpin berimej pengkhianat dan tidak mengenang budi seperti itu mampu lagi menambat hati rakyat?
Realitinya, jika melalui PKR yang memberinya ruang membina nama pun dikhianatinya, kemudian lompatan ke dalam Bersatu yang membolehkannya mempunyai mempunyai tempat bernaung sambil mengekalkan kedudukan dalam kerajaan juga tidak dihargai, penyertaan ke dalam PBM sama sekali tidak mengubah apa-apa tentang gambaran dirinya di mata umum.
Zuraida yang sekarang menjawat jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan mungkin hilang jawatan kabinetnya itu tidak lama lagi, tetap dilihat sebagai politikus berwatak hitam yang teramat sukar untuk rakyat terus memberinya kemenangan, bukan saja di Ampang, malah di mana-mana juga kawasan yang dipilihnya untuk bertanding dalam PRU15 akan datang.
Sikap khianatnya itu akan terus diingati rakyat dan begitu mustahil rakyat mahu memberinya undi lagi yang jika itu dilakukan, bererti memungkinkannya berlaku khianat lagi.
Bak pesan orang tua-tua, anjing yang biasa mengigit tulang akan terus menjadikan tulang sebagai santapan untuk kekal kenyang.
Dengan itu, berdasarkan tinjauan serta dapatan secara umum bahawa sejak mengkhianati PKR bersama Azmin Ali dan gerombolan lainnya, beliau telah ditolak dan sukar untuk mengekalkan kerusi Ampang yang dimenanginya sejak beberapa penggal lalu, bahkan tidak jufa cerah di mana-mana kawasan yang lain, perkara itu tidak berubah pun dengan tindakannya menyertai PBM.
Sama ada kekal bersama Bersatu atau kini menyertai PBM, jika Zuraida memilih untuk bertanding lagi, yang menunggunya tidak lain melainkan hanyalah kekalahan.
Menyertai PBM dan meninggalkan Bersatu tidak mungkin meletakkan Zuraida mampu mengekalkan status dirinya sebagai Ahli Parlimen melalui parti barunya itu.
Kubur politiknya sudah tersedia setakat PRU15 saja.
Ertinya dengan keluar Bersatu dan menyertai PBM sebagaimana diumumkannya semalam, Zuraida sekadar berpindah kubur saja.
Dulu, kubur politiknya ialah Bersatu dan kini berpindah ke PBM – namun mati tetap mati.
Baca juga: PH gesa Ismail Sabri segera tunaikan janji bahas RUU Anti Lompat Parti