Malaysia Dateline

Keluar kenyataan rasis mengenai isu KPKT ambil pakar Singapura, warganet ingin pembangkang cari skrip lain

Tindakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman yang mengeluarkan kenyataan sentimen berbaur perkauman telah mendapat kecaman dari rakyat Malaysia.

Muhammad Faiz dalam satu kenyataan mempertikaikan inisiatif Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mendapatkan khidmat nasihat agensi perumahan asal Singapura.

Katanya, usaha menteri KPKT yang berasal dari parti DAP untuk membawa masuk pakar dari Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) merupakan suatu pencabulan yang jelas ke atas kedaulatan dan keselamatan Malaysia.

“Nampaknya tembelang dan kiblat sebenar DAP dah mula keluar. Apakah tindak-tanduk Menteri DAP KPKT ini mendapat restu Anwar Ibrahim? Atau adakah Anwar gagal memantau isu sensitif begini?.

“Sekilas ikan di air, kita sudah boleh tahu jantan betinanya apa agenda sebenar kerajaan yang dikuasai DAP ini,” katanya.

Tambahnya, kerjasama tersebut tidak hanya melibatkan perancangan perumahan malah mendedahkan maklumat sensitif negara berkaitan demografi kepada pihak asing.

Rata-rata pengguna di media sosial berpendapat kenyataan Faiz itu sengaja dikeluarkan bagi mencari isu sensasi dan membangkitkan rasa marah dari sesetengah pihak.

Hasilnya, akan berlaku bantahan dan protes kerajaan di jalanan yang akan menjejaskan kestabilan negara seterusnya menggugat kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.

Pemilik akaun Twitter bernama Teeqbaz berpendapat, kenyataan doktor perubatan itu merupakan skrip yang biasa dimainkan pembangkang bagi mencabar keamanan yang dinikmati rakyat negara ini.

Pendapat tersebut turut dikongsi oleh pengguna lain yang menuntut pembangkang menghentikan permainan isu perkauman.

“Malangnya tu mentaliti kita. Main sentimen agama, bangsa dan sebagainya. Sebab tu Singapura maju, sampai beratus ribu rakyat kita bekerja di sana,” kongsi pengguna lain.

“Komen berdasarkan syak wasangka yang tinggi. Kalau tengok cara puak-puak rasis ini memang ulang-ulang ‘grand design’, akses maklumat sensitif, kedaulatan.

“Bodoh apa, orang itu masuk mesti dah sign Perjanjian Tidak Boleh Dedah (NDA) kalau betul ada maklumat sensitif. Biasalah tu ambil pakar luar,” kata pengguna @Fadzly.in.

Baca juga: Bayi lapan bulan selamat dalam kemalangan ngeri, wanita ini gesa ibu bapa beli ‘car seat’