Keluarga tawar ganjaran RM150,000 kepada sesiapa berjaya jumpa Lee Chong Loong

Oleh NASUHA RAHMAN

Ganjaran sebanyak RM150,000 akan diberikan kepada mereka yang berjaya menemui Lee Chong Loong yang hilang ketika melakukan pandu uji jet ski di perairan berdekatan Pulau Talang-Talang, Sematan Kuching baru-baru ini.

Tawaran itu dibuka oleh ahli keluarganya melalui satu poster yang tular hari ini, keluarga itu menawarkan ganjaran RM30,000 dan jika mangsa ditemukan masih hidup pula ganjaran RM150,000 akan diberikan.

“Jika anda mempunyai sebarang maklumat, sila hubungi 019-8553333 atau 016-8872000. Kami merayu kepada orang awam untuk membantu mencari Lee yang dilaporkan hilang semasa menaiki jet ski dari Pulau Talang Talang ke jeti Santubong.

“Pertolongan dalam pencarian Lee amat diperlukan secepat mungkin,” kata keluarga mangsa dalam poster itu.

Lee, 46, kali terakhir dilihat memakai baju lengan panjang dan seluar panjang berwarna hitam dilaporkan hilang pada sekitar jam 4 petang Jumaat lalu.

Mangsa juga dikatakan mempunyai tatu SED di badannya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu, Pegawai Bomba Kanan 1, Jaree Mohamad berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kelima hari ini masih gagal mengesan mangsa.

“Anggota SAR dari BBP Lundu sudah melakukan pencarian menggunakan sebuah bot penyelamat di sekitar Pulau Talang-Talang dan seterusnya di Muara Sungai Lundu.

“Anggota SAR dari BBP Petra Jaya juga menjalankan pencarian menggunakan dua buah bot penyelamat di persisiran pantai dari Tanjung Serpan sehingga kawasan Pulau Talang-Talang selain sekitar Pantai Trombol dan Muara Sungai Buntal namun mangsa masih belum dijumpai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, operasi SAR ditangguh pada jam 5.30 petang dan akan disambung hari ini.

Baca juga: ‘Jangan suka sangat ke Thailand’-Bekas KPN dedah ramai diculik jadi buruh paksa, pelacur dan jual organ

Baca juga: Perintah berkurung dilanjutkan hingga 7 Oktober