Malaysia Dateline

Kembalikan semula subsidi barang keperluan, makanan asasi rakyat

AMANAH menuntut agar kerajaan segera mengembalikan semula subsidi untuk barang keperluan dan makanan asasi rakyat dan mengadakan sidang khas Parlimen untuk membahaskan isu bekalan makanan negara (food security).

Pengerusi Biro Mobilisasinya, Mohd Sany Hamzan berkata, kerajaan juga perlu membatalkan permit import (AP) barang makanan bagi menstabilkan harga barang di pasaran.

Menerusi kenyataannya hari ini, beliau menegaskan bahawa AMANAH akan terus komited dan konsisten bersama dengan denyut nadi rakyat dalam membawa suara marhaen yang terkesan teruk dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang semakin menggila.

Menurutnya, keadaan tersebut ekoran daripada pengurusan, penguatkuasaan dan pentadbiran yang sangat lemah dari kerajaan Keluarga Malaysia Ismail Sabri hari ini.

“Kami akan terus membawa suara rakyat dalam apa medium sekalipun baik di Parlimen, Dewan Undangan Negeri hinggakan ke jalan-jalan raya,” ujarnya.

Sehubungan itu, jelasnya, bagi meneruskan momentum bantahan tentang kenaikan harga barang, Biro Mobilisasi AMANAH akan menyerahkan surat jemputan kepada Perdana Menteri pagi esok bagi menjemput Ismail Sabri turun membeli barang keperluan bersama rakyat di Pasar Tani Presint 3 Putrajaya pada Jumaat, 22 Julai ini.

Katanya, jemputan itu bagi membolehkan Ismail Sabri faham dan sedar kesusahan yang dialami rakyat ketika ini akibat kenaikan mencanak harga barang keperluan di bawah pentadbiran beliau sekarang.

Dalam masa sama, beliau berkata, Biro Mobilisasi AMANAH mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan himpunan aman “flash mob” BN-Barang Naik, Turunkan Harga Barang serentak di semua kawasan Parlimen petang semalam.

“Meskipun mendapat amaran dari Ketua Polis Negara sebelum himpunan bermula, ia tidak langsung mematahkan semangat dan iltizam ahli-ahli AMANAH dan orang ramai untuk turun berhimpun secara aman bagi menyuarakan keperitan dan kesusahan rakyat yang sangat terkesan dengan kenaikan harga barang yang semakin tidak terkawal lebih-lebih lagi selepas penarikan subsidi barang keperluan asasi rakyat bermula 1 Julai lalu,” ujarnya lagi.

Baca juga Kenaikan harga barang! Mat Sabu turut rasai denyut nadi keluhan rakyat di Jalan Jati

Baca juga Tutup jalan untuk majlis perkahwinan, majlis dihentikan seketika untuk bagi laluan kepada pengusung jenazah