Malaysia Dateline

“Kena buat FB live jual getah ke?”, Sifu pemasaran dikritik lepas bagi tips nak naikkan jualan getah kena ada ‘marketing’

Bulan lepas, nama Najib Assadok pernah menjadi bualan ramai selepas didakwa ‘koyak’ hanya kerana pengikutnya bertanya apa perniagaan yang pernah dilakukan olehnya.

Terbaru, Najib sekali lagi dihujani kritikan dan sindiran selepas satu komentarnya kepada seorang penoreh getah tentang bagaimana mahu menaikkan jualan hasil getah.

Ia bermula apabila seorang pemuda yang menggunakan akaun Zaki Ibrahim meninggalkan komen di laman Facebook Najib dan berkata dia merupakan seorang penoreh getah, bagaimana dia boleh menaikkan jualan hasil getahnya.

Komen balasan Najib kemudiannya mengundang banyak perhatian selepas membalas bahawa dengan teknik pemasaran yang betul, pemuda itu boleh menaikkan jualan hasil getah.

“InsyaAllah cara marketing betul, tarik ramai pelanggan. InsyaAllah sales naik tuan. Kena ada teknik yang betul,” tulis Najib.

Tangkap layar tertera komentar dari Najib Assadok itu ada ditularkan di media sosial Facebook dan Twitter. Susulan itu ada yang membalas komen tersebut dan bertanya “jual getah pun kena ada marketing?“.

Tangkap layar komentar yang dikongsi warga maya

Ramai juga tampil mengkritik respon Najib yang dianggap sebagai tidak tahu tetapi buat-buat tahu.

Mereka juga berkata kemungkinan sifu pemasaran itu berharap penoreh getah buat siaran langsung di Facebook untuk melariskan jualan mereka.

“Tarik ramai pelanggan macam mana? Buat FB live jual getah ke?,” soal warga maya.

“Getah kena ada marketing macam bawa getah dalam mangkuk tu..duduk tepi pasar raya bagi orang rasa pakai sudu sikit sorang..kena banyak promote dalam FB, Tiktok, dan Instagram..Insha allah getah akan naik harga dan sale melambung tinggi..tu yang saya tengok dia ajar..,” sindir warga maya yang lain.

Bagaimanapun ada yang tampil pertahan komen Najib dan mengatakan bahawa apa yang ditulis adalah betul kerana kebanyakan penoreh menjual getah pada orang tengah. Jika perkara ini dapat dielakkan iaitu tidak membiarkan orang tengah menguruskannya, harga jualan boleh meningkat.

Sekadar info berkenaan getah, harga pasaran komiditi getah asli di negara kita ditentukan beberapa faktor antaranya penyumbangan dari industri pembuatan tayar.

Hampir 70 peratus getah asli di dunia digunakan dalam industri pembuatan tayar. China, Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah adalah pengeluar tayar utama di dunia. Keadaan ekonomi dan cuaca semasa industri automotif negara-negara ini akan mempengaruhi harga getah asli dunia.

Selain itu, lebihan stok getah akan menyebabkan lebihan penawaran getah di pasaran, seterusnya akan mempengaruhi harga getah.

Baca juga: Lagi kes suap duit untuk dapat projek, jangan biarkan negara amal rasuah dalam projek perolehan

Baca juga: RM225 bilion tiba-tiba masuk akaun, lelaki ini jujur pulangkan semula pada pemilik asal