“Kenapa tak panggil saya?” – Syamsul kecewa Finas berdiam diri isu cetak rompak filem Mat Kilau

Oleh KIM SYAZIE

Sebelum ini media ada melaporkan tentang perkembangan terkini filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang telah dicetak rompak dan dikongsi secara haram di aplikasi Telegram.

Terbaru, pengarah filem berkenaan, Syamsul Yusof meluahkan rasa tidak puas hati kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) yang didakwa memandang sepi hal berkenaan.

Syamsul berkata, dia telah pun mengutarakan isu cetak rompak berkait filemnya kepada Finas.

Namun menurutnya, pihak Finas langsung tidak memanggilnya, bahkan terus membuat perbincangan tidak membabitkan dirinya selaku pengadu.

“Kenapa mereka tak panggil saya? Buat perbincangan tapi tidak melibatkan saya. Jangan risau, saya tak makan orang.

“Ini adalah tanggungjawab saya selaku orang filem. Saya tak nak isu ini naik sekejap, selepas itu senyap pada kemudian harinya.

“Saya kecewa dengan sikap mereka. Adakah sebab saya muda? Nak kata saya muda, umur pun sudah hampir mencecah 40 tahun. Mungkin rambut saya belum putih,” katanya hari ini memetik Utusan Malaysia.

Syamsul berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis bual bicara Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan: Yang Tersurat dan Tersirat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, pagi tadi.

Dalam pada itu Syamsul menegaskan bahawa Finaslah tempat pembikin filem mengadu hal ini kerana dia melihat, sampai bila mahu membiarkan isu cetak rompak terus membunuh industri perfileman.

“Saya juga berharap Finas dapat mengambil kira pandangan orang muda tentang masalah ini. Saya tak mahu pentingkan diri dan bukan bersuara bila filem saya laku sahaja.

“Saya nampak kita boleh pergi jauh dalam menangani isu ini. Finas kena bertegas. Saya tak mahu masalah cetak rompak ini terus didiamkan,” tegasnya.

Baca juga: Filem penuh Mat Kilau dirompak, ditayang secara haram di Telegram

Baca juga: “Saya suka anak saya jadi rakyat Malaysia tapi…”, Dr Amalina perjelas kenapa pilih kerakyatan British untuk anak