Malaysia Dateline

Kenapa tolak debat sedangkan ia juga untuk berkempen? Jika ada wawasan terima sahaja pelawaan debat ini

Lusa hari penamaan calon. Setelah setiap parti mengumumkan calon masing-masing, muncul tiga calon perdana menteri (PM).

Di antara tiga calon ini, pada 20 Oktober 2022, ketika berucap di Temerloh, Pengerusi PH, DS Anwar Ibrahim mencadangkan debat secara terbuka calon perdana menteri (PM) dengan memberi tumpuan kepada soal dasar dan perancangan bukan berbentuk tuduhan serta dakwaan.

Pada 28 Oktober, Pengerusi PN, TS Muhyiddin Yassin berkata beliau bersedia dengan syarat tujuannya adalah untuk membincangkan isu berkaitan pemulihan negara, ekonomi dan pendidikan serta isu antarabangsa.

Pada 25 dan 29 Oktober, care taker PM DS Ismail Sabri menolak dengan mengatakan debat bukan budaya politik kita dan tidak membawa sebarang manfaat selepas perdebatan itu selesai.

Saya hairan ada pemimpin yang menolak debat

Kenapa tolak sedangkan debat ini juga adalah untuk berkempen? Sepatutnya, jika ada wawasan, idea, prinsip, fakta, kebijaksanaan, falsafah dan nilai perjuangan yang baik, terima sahaja pelawaan debat ini.

Adakah debat itu hasilnya buruk? Jika buruk, tidak akan ada negara demokrasi matang yang menganjurkannya antara calon presiden atau calon PM bagi negara masing-masing setiap kali pilihan raya diadakan.

Hujah sesetengah orang yang menolak debat dengan alasan debat bukan budaya politik kita, debat ini syok sendiri, debat ini seloka politik, debat adalah di Parlimen bukan di TV, debat ini publisiti untuk pilihan raya sahaja, debat bukan menaikkan nilai ringgit, dan tidak boleh menyelesaikan masalah rakyat, bagi saya, adalah alasan lama yang tidak boleh dipakai lagi.

Memang debat bukan boleh menyelesaikan masalah rakyat, tetapi debat boleh merungkai kekalutan pandangan. Dan jangan lupa, debat juga boleh menghangatkan persaingan PRU untuk menarik ramai rakyat untuk keluar mengundi dan terlibat dalam PRU ini.

Jangan samakan debat dengan manifesto

Manifesto tidak bercakap, debat bercakap. Manifesto adalah janji parti. Kita bukan hendak menilai janji-janji politik parti, tetapi menilai kebolehan pemimpin menjawab dan melaksanakan manifesto ini.

Jika berceramah pula, itu sehala. Tiada soal jawab dari moderator dan juga soalan dari calon lawan.

Paling membosankan, ceramah ini tiada idea baharu tanpa menawarkan arah tuju pemerintahan negara ini. Ceramahnya mengungkit kisah lama, kesalahan lama, dan akhirnya bermain dengan isu kaum dan agama.

Jika diadakan debat, saya harap moderator boleh bertanyakan soalan-soalan ini kepada setiap calon PM, biar jelas pendirian sebenar masing-masing.

i. Apakah GST akan diperkenalkan semula bagi menggantikan SST? Jika diperkenalkan semula berapa peratus?

ii. Bagaimana dengan harga minyak? Diapungkan, subsidi bersasar atau ditentukan mengikut harga pasaran?

iii. Bagaimana dengan pendidikan sekolah Cina dan UEC?

iv. Pendirian tentang MSRM dan sekolah berasrama penuh? Tujuan asalnya adalah untuk membantu anak-anak orang miskin, tetapi sekarang ini sudah dimonopoli oleh anak-anak orang berada?

v. Bagaimana dengan dasar pekerja asing? Akan terus mengambilnya atau memperkasakan pekerja tempatan?

vi. Bagaimana dengan ringgit? Tambak atau ditentukan oleh pasaran?

vii. Bagaimana dengan royalti minyak untuk negeri-negeri pengeluar minyak?

viii. Apakah tindakan bagi mereformasi pasaran ekonomi negara supaya kembali mendapat kepercayaan pelabur?

Itu adalah antara soalan spesifik. Belum lagi soalan umum berkaitan dengan dasar ekonomi untuk memajukan negara, mengatasi kemiskinan rakyat, dasar kesihatan, dasar luar, keselamatan negara, teknologi hijau, perubahan iklim dan lainnya.

Ingat, pilihan raya ini bukan sahaja tentang parti mana yang menang, tetapi siapa bakal PM yang terbaik untuk negara. Debat ini pula bukannya untuk mencari populariti, tetapi bagi membolehkan rakyat menilai kecekapan, kewibawaan, daya intelek, dan kebolehan bakal PM mereka.

Jika debat ini diadakan, moderatornya mesti cekap, pantas, telus, berani dan adil. Soalannya bukan macam soalan format temu bual kerja. Hendaklah dalam bentuk debat langsung dan disiar secara langsung.

Saya mencadangkan Tan Sri Johan Jaafar atau Sayed Munawar untuk dipertimbangkan menjadi moderatornya. Jika keduanya tidak bersedia, saya menawarkan diri untuk menjadi moderatornya.

Dengan cara ini, rakyat boleh menilai siapa yang cakap ‘real facts’, dan siapa yang ‘spinning facts’

Jika tidak jadi debat dalam PRU ini, saya fikir sampai masanya SPR melihat semula Peraturan PiIlihan Raya untuk mewajibkan debat antara pemimpin-pemimpin parti diadakan pada masa depan.

Letakkan ambang batas 20% sebagai syarat wajib bagi parti yang mendapat undi dalam pilihan raya sebelumnya untuk turut serta dalam debat ini.

Jika di negara lain, debat diadakan dalam tiga pusingan, kita boleh mulakan dahulu dengan dua pusingan, iaitu seminggu selepas penamaan calon dan seminggu sebelum hari pengundian.

Setelah ada pemimpin yang menolak debat ini, saya fikir betapa kita kehausan pemimpin yang berani dan mempunyai idea untuk berhadapan dengan rakyat secara langsung di ketika kita amat memerlukan pemimpin yang ada visi dan ahli politik kelas dunia.

Dalam tempoh waktu kempen yang akan bermula pada 5 November ini, debat calon PM perlu diadakan. Rakyat perlu diberi peluang menilai siapakah tiga bakal PM dari tiga pakatan parti besar yang paling sesuai untuk menjadi PM kita.

Jika seorang calon menolak, mulakan dengan dua orang calon yang bersetuju sahaja. Ayuh! Teruskan supaya debat bakal PM ini menjadi budaya politik baharu kita.

Jika tidak jadi juga debat ini, maka kekallah kita dengan budaya politik lama. Apakah ini yang kita mahu?

Baca juga: ‘Kerana pencabar saya seorang menteri, maka mantan menteri ini turun bertarung’- Dzulkefly

Baca juga: Che Lah isi borang sebagai calon Umno selepas tidak dicalonkan Pas, kata aktivis Umno