Malaysia Dateline

‘Kepimpinan Mahiaddin mujarab, bersinar hingga silau mata memandang’

Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Mahiaddin Yassin merangkap Presiden Bersatu mempunyai 31 ahli parlimen, termasuk dirinya di dalam blok Perikatan Nasional.

PN sendiri terdiri dari 74 ahli parlimen manakala dalam PN, Muhyiddin ialah pengerusinya.

Sebagai pemimpin nombor satu PN, aura kepimpinan beliau begitu ‘menyilau’ mata memandang sehinggakan Bersatu di Sabah dibubarkan.

Kini Bersatu hanya mempunyai Ronald Kiandee (Beluran) yang juga adalah Naib Presiden Bersatu di peringkat pusat.

Mahiaddin kesal dengan tindakan kepimpinan Bersatu di Negeri Bawah Bayu tetapi terlupa bahawa beliau sendiri terlibat dalam Langkah Sheraton yang menjatuhkan kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad.

Malang sekali, beliau tidak boleh mendakwa kumpulan pemimpin Sabah tersebut sebagai si Kitol memandangkan beliau sendiri telah memulakan langkah sebegitu apabila membawa keluar Bersatu dari Pakatan Harapan dan membentuk PN.

Beliau juga tidak mengambil jawatan ketua pembangkang. Kedudukan itu diambil oleh Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut) merangkap setiausaha Bersatu.

Bagaimana mungkin Mahiaddin mahu kembali sebagai Perdana Menteri sedangkan beliau tidak mahu menjadi Ketua Pembangkang?

Ketua Pembangkang ialah ‘prime minister in waiting’ dalam amalan demokrasi. Nampaknya Mahiaddin tidak mahu menunggu untuk menjadi perdana menteri.

Pasca PRU 15, penyokong PN masih meneruskan serangan ke atas Kerajaan Perpaduan atas alasan kerajaan tidak dibentuk berdasarkan amalan demokrasi.

Ini kerana Mahiaddin telah mendakwa Kerajaan Perpaduan yang diperkukuhkan dengan perjanjian persefahaman didakwa sebagai tidak berperlembagaan meskipun Agong telah pun memberi perkenan kepada kerajaan tersebut.

Usaha kerajaan membantu rakyat di kebanyakan negeri yang berdepan dengan musibah banjir turut dikritik oleh para penyokong PN.

Berbanding dengan Mahiaddin, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil pendekatan wasatiyah untuk bekerjasama dengan semua pihak termasuk kerajaan pimpinan PN.

Dalam satu sidang media di SMK Tengku Panglima Raja, Anwar menegaskan fokusnya sekarang adalah masalah banjir yang dihadapi Kelantan kerana beliau perlu menguruskan negara.

Beliau turut menyatakan bahawa beliau mengalu-alukan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan kepentingan rakyat. Ahmad ialah pemimpin PAS di dalam PN.

Sejurus selepas mengambil alih tampuk pemerintahan, Mahiaddin turut memperlihatkan visi pemerintahannya dengan menyalahgunakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menangani pandemik Covid-19. Perkara ini dibuat dengan melaksanakan Ordinan Darurat pada awal 2021.

Meskipun begitu bilangan kes Covid-19 dan kematian disebabkan oleh fokus kepimpinan beliau yang tidak menumpukan perhatian kepada ujian saringan dan pemberian vaksin kepada masyarakat.

Dalam keadaan ini, Mahiaddin berjaya menghentikan institusi parlimen yang merupakan tunjang sistem demokrasi daripada berfungsi.

Mahiaddin juga sangat prihatin dengan kesukaran ekonomi yang dihadapi oleh rakyat. Oleh itu beliau telah membenarkan pengeluaran wang dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000.

Kaedah ini berbeza dengan pendekatan yang diambil oleh Anwar sekarang yang menumpukan kepada penjimatan kos projek dan aktiviti kementerian.

Kebanyakan negara luar juga tidak menggunakan kaedah yang diluluskan oleh Mahiaddin. Singapura, umpamanya, mendapatkan dana luar untuk membantu rakyat menangani masalah ekonomi rakyat.

Ia lebih laju dalam membentangkan suntikan dana tambahan tersebut berbanding pemimpin Melayu terbilang yang bernama Mahiaddin Yassin.

Mahiaddin turut bercadang mendapatkan kereta mewah Mercedes S Class melalui Jabatan Perdana Menteri. Kita ambil pendekatan husnuzon. Besar kemungkinan kenderaan tersebut berguna untuk membantu rakyat. Wallahua’lam beeshawab.

Di bawah pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Mahiadeen mempengerusikan Majlis Pemulihan Negara (MPN). Beliau sendiri telah menyatakan bahawa fokus utama MPN ialah untuk memulihkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS).

Mahiaddin juga mengakui bahawa MPN ialah harimau tidak bertaring yang hanya mengetengahkan 95 syor kepada kerajaan ketika itu.

Kita juga harus memuji Mahiaddin kerana memimpin MPN secara pro bono ‘tanpa membuat apa-apa yang tuntas’ untuk PKS.

Berdasarkan perkara yang dibincangkan di atas, sudah terang lagi bersuluh bahawa kepimpinan Mahiaddin sebagai Perdana Menteri dan pengerusi PN mujarab dan bersinar hingga menyilau mata memandang.

Baca juga: MB Terengganu dikatakan hilang akhirnya ‘muncul’ di Kemaman