Malaysia Dateline

Kerajaan belum bayar kepada pengendali MySejahtera, mahu runding harga kurang RM300 juta

Kerajaan belum bayar kepada pengendali MySejahtera, mahu runding harga kurang RM300 juta.

Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan juga belum membuat apa-apa pembayaran kepada pengendali aplikasi MySejahtera.

“rundingan yang masih berjalan ketika ini akan diusahakan sebaik mungkin untuk mencapai situasi menang-menang, yang seterusnya akan memastikan isu ini dapat mencapai kata putus.

“Harga yang saya dengar di pasaran RM300 juta lebih, saya boleh nyatakan di sini bahawa harga yang kita runding ini jauh kurang daripada RM300 juta.

“Kita akan dapat satu kos yang sebenar yang menjaga kepentingan awam,” katanya ketika menggulung usul perbahasan berkaitan aplikasi MySejahtera pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Khairy berkata, kerajaan dan Kementerian Kesihatan (KKM), akan memastikan sebarang keputusan berhubung kos pembayaran akan mengambil kira kepentingan negara dan rakyat.

Kerajaan kini dalam peringkat akhir berhubung perkara itu, dan ia hampir ke tahap untuk menandatangani kontrak, katanya menjawab celahan Senator Fadhlina Sidek yang ingin tahu status rundingan berhubung bayaran kepada pengendali MySejahtera.

Senator Fadhlina Sidek

Justeru, katanya tidak timbul isu penjualan aplikasi MySejahtera kepada pihak swasta, sebaliknya keputusan Jemaah Menteri pada November tahun lepas mempersetujui agar pemilikan MySejahtera dipindahkan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), kepada KKM.

Beliau berkata ia bertujuan memudahkan pengoperasian sistem, pemantauan dan pengesanan kontak dan memperkasa hebahan tentang kesihatan awam.

“Pemindahan ini bukan daripada syarikat swasta kepada KKM, tetapi daripada agensi kerajaan lain kepada KKM,” katanya.

Beliau berkata adalah wajar bagi KKM mengambil alih sepenuhnya pengendalian dan operasi MySejahtera, memandangkan fungsi utama serta data yang diperoleh menerusi aplikasi itu berkaitan kesihatan.

Khairy berkata selaras dengan keputusan Jemaah Menteri itu, satu Jawatankuasa Pemandu telah ditubuhkan dipengerusikan beliau sendiri dan dianggotai pelbagai agensi berkepentingan seperti Agensi Keselamatan Sumber Negara (NASCA), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, bagi mengadakan rundingan bersama syarikat pengendali MySejahtera.

“Jawatankuasa Pemandu itu juga akan membincangkan tentang hala tuju aplikasi MySejahtera, lebih-lebih lagi selepas ini kita beralih ke fasa peralihan pandemik dan seterusnya mencapai fasa endemik kelak,” katanya.

Khairy turut memberi jaminan bahawa beliau dan KKM akan memberikan kerjasama sepenuhnya terhadap sebarang prosiding yang akan dijalankan, termasuklah oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Beliau memberi jaminan tiada apa-apa yang disembunyikan, dan keputusan untuk mengadakan rundingan adalah suatu usaha bagi memperbetul dan menyelesaikan masalah yang timbul sebelum ini.

Dalam pada itu, Khairy menjelaskan pemilik saham syarikat Entomo Pte Ltd (sebelum ini dikenali sebagai KPISoft Malaysia Sdn Bhd) yang berpangkalan di Singapura, majoritinya adalah rakyat Malaysia.

“Mereka membuat keputusan berpangkalan di Singapura sebab seperti mana syarikat teknologi lain dari Malaysia, mereka mendapati bahawa lebih mudah untuk mendapat pelabur di Singapura sebab itu mereka di sana,” katanya.

Mengenai dakwaan sebelum ini NASCA membayar sejumlah wang kepada KPISoft Malaysia Sdn Bhd, Khairy berkata pembayaran tersebut bukan untuk aplikasi MySejahtera sebaliknya kepada Google untuk perkhidmatan mereka API contohnya Google Maps, dipetik Bernama.

Baca juga: https://malaysiadateline.com/usul-isu-mysejahtera-dibahas-di-dewan-negara-petang-ini/