Malaysia Dateline

Kerajaan digesa benarkan makan di kedai, buka kedai alat tulis dan perubatan tradisional

Majlis Pimpinan Negeri PKR Pulau Pinang berharap Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak hanya bergantung pada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 tanpa memahami keseluruhan spektrum di bawah prosedur pengurusan wabak.

Pemangku Pengerusinya, Bakhtiar Wan Chik berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan semula waktu operasi untuk premis makanan dan minuman serta mengkaji semula dasar tidak boleh menjamu selera di premis.

Ahli Parlimen Balik Pulau itu berkata, pelanggan harus dibenarkan menjamu selera di kedai dengan dua individu setiap meja tanpa terikat sehingga jam 8 malam sahaja.

“Perniagaan seperti kedai alat tulis dan kedai perubatan tradisional dan komplementari termasuk kiropraktor, fisio dan pengamal kesihatan mental harus dibenarkan beroperasi
seperti biasa.

“Pengurusan pengendali varian merbahaya yang cekap harus merangkumi ujian yang boleh dilakukan di premis-premis yang telah diberi kebenaran untuk beroperasi,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Bakhtiar menegaskan MKN perlu mempertimbangkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang lebih longgar memandangkan tekanan hidup ekoran tiada kelangsungan punca pendapatan pada masa pelaksanaan sekatan penuh pergerakan menyumbang kepada angka kematian akibat bunuh diri di Pulau Pinang.

Dalam masa sama, beliau berharap MKN lebih telus dalam mempamerkan jumlah denda dan tangkapan yang telah diambil sejak PKP 1.0 hingga ke PKP 3.0.

Perangkaan terbabit, jelasnya, turut memperincikan faktor-faktor melibatkan syarikat yang berada dalam kategori industri kecil dan serdahana yang sememangnya terkesan serta rakyat yang berada dalam kategori berpendapatan rendah.

“Covid-19 menimbulkan ancaman nyata dan segera terhadap kesihatan rakyat kita, dan kita menyedari ini.

“Namun, apabila sekatan pergerakan ini terus berlanjutan tanpa pertimbangan yang mencukupi untuk mencari nafkah, kita juga berisiko kehilangan nyawa,” tegasnya.

Sehubungan itu, Bakhtiar mengulangi tuntutan bahawa setiap pelaksanaan PKP mesti disertakan dengan jumlah bantuan yang diperlukan.

“Seharusnya, kerajaan sedia ada memberi sokongan tambahan seperti memberi moratorium pinjaman bank dalam waktu yang terdesak ini,” tambah Bakhtiar lagi.