Kerajaan negeri Kelantan digesa mudahkan proses perumahan generasi baharu Felda

Oleh NASUHA RAHMAN

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) merayu Kerajaan Negeri Kelantan mempermudahkan proses pembangunan perumahan Generasi Baharu Felda dengan kadar premium yang rendah seperti dilakukan negeri Johor.

Malangnya, menurut Pengerusi Anak, Datuk Mazlan Aliman sampai hari ini tapak yang dicadangkan untuk perumahan generasi baru di Felda Ciku 5 sejak 2012-2013 terbengkalai begitu sahaja.

Katanya, suatu tempoh masa, contohnya 10 tahun akan datang pelan pengambilalihan dari Felda kepada generasi baharu Felda dalam konteks polisi masa hadapan yang sistematik mesti dimuktamadkan.

“Generasi Baharu Felda yang mempunyai puluhan ribu cerdik pandai dan aktivis diperingkat lapangan tidak lagi sekadar ‘ follower’, sebaliknya memimpin perubahan kearah menerajui dasar Felda,” kata beliau ketika menerima undangan dari Save Kelantan berceramah dan sesi dialog di rumah Pak Da Qari, Felda Ciku 5, Gua Musang malam tadi.

Rumah generasi baru Felda

Menurut Mazlan masa hadapan Felda khususnya cadangan pindaan Akta GSA 1960 dan isu-isu pewarisan berdasarkan kaedah faraidh dapat dibuat sekali gus bagi menyelesaikan kemelut dalaman dalam kalangan adik beradik, status generasi baharu Felda di sisi GSA, bidang kuasa Kerajaan Negeri dan terma pengurusan kebun.

“Sudah sampai masanya mekanisme berdikari yang diungkapkan oleh Allahyarham Tun Razak(Timbalan Perdana Menteri) di Parlimen pada 27 april 1960) tika membentangkan pelan pembangunan Felda bawah GSA diperbaharui.

“Generasi Baharu Felda yang merupakan kelompok majoriti, dengan mengambil kira hampir 70 peratus peneroka asal telah meninggal dunia,” katanya.

Beliau turut menyentuh Program Pembangunan Peneroka (PPP) 2019-2023 berjumlah 1 bilion atau RM250 juta setahun agar dapat disusun semula supaya benar-benar mencapai matlamatnya.

“Potensi projek sosio ekonomi dan smart farming boleh memberi nafas baru kepada penyertaan anak muda Felda dan peluang pendapatan yang berbaloi.

“Ngo-Ngo Felda dipelawa bekerjasama membina networking dengan Ngo Pertubuhan Gerak Tani, agensi atau Jabatan Kerajaan dan pemain industri dalam merealisasikan Pelan Strategik Keselamatan Makanan Negara.

“Di usia Felda, 1956-2022; dengan berbagai ujian & cabaran yang dilalui, ayuh Generasi baharu Felda. Buktikan kemampuan melalui reformasi menyeluruh hala tuju Institusi terbesar orang melayu, FELDA,” katanya.

Baca juga: Jangan jadikan manusia itu hamba, Anwar beri peringatan dalam ceramah sulung Jelajah Harapan

Baca juga: Pura-pura berpengalaman mengasuh, lelaki mengaku bersalah rogol bayi dan cabul 12 kanak-kanak