Kerajaan perlu berani siasat pembekal utama ayam bukan terus kenakan kompaun kepada peniaga

Oleh NASUHA RAHMAN

Kerajaan perlu berani siasat pembekal utama ayam bukan terus kenakan kompaun kepada peniaga. Kerajaan perlu bertindak berani dan adil menyiasat semua yang terlibat termasuk pembekal besar ayam dan bukan hanya mengenakan tindakan kompaun kepada penjual ayam yang kerdil di pasar.

Pengerusi AMANAH Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, untuk berlaku adil masalah mesti ditangani di peringkat atas bermula dengan pembekal utama ayam dan jangan hanya penjual kecil terus menjadi kambing hitam mangsa kerajaan yang lemah.

Baru-baru ini pihak penguatkuasa dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu telah mengenakan kompaun segera (on the spot) sebanyak RM500 seorang kepada 11 peniaga penjual ayam kerana menjual ayam lebih dari harga RM8.90 yang telah ditetapkan.

“Mereka yang baru mula boleh bernafas dalam berniaga selepas PKP yang begitu lama, terkejut dan amat terkesan dengan tindakan tersebut.

“Lebih malang, peniaga diminta membayar kompaun RM500 segera secara tunai diawal pagi amat sukar semasa baru mula menjual.

“Jumlah kompaun yang dikenakan juga amatlah tinggi diatas kemampuan mereka sebagai peniaga kecil,” kata beliau.

Kerajaan perlu berani siasat pembekal utama ayam bukan terus kenakan kompaun kepada peniaga
Raja Baharin Shah mengunjungi peniaga ayam di Pasar Cabang Tiga Kuala Terengganu

Beliau turut mempersoalkan mengapa KPDNHEP Terengganu dalam mengenakan kompaun menekan dan hanya menumpu perhatian hanya kepada penjual dan tidak menyiasat pembekal peniaga besar yang berpengaruh menetapkan harga tinggi kepada pembekal.

Jelasnya, sikap kerajaan mengambil jalan mudah menekan peniaga kecil sementara peniaga besar seperti pembekal besar tidak di siasat dan dikenakan tindakan yang sama mencerminkan sikap di antara dua darjat yang kaya berpengaruh dilepaskan dan yang miskin dikenakan tindakan.

“Di bulan ramadan yang mulia ini, penjual kecil menuntut keadilan di atas masalah mereka yang baru mula boleh bernafas semula sedikit tetapi dikenakan kompaun RM500 ia itu dengan keuntungan 20 sen harga ayam RM 8.90 sekilo.

“Mereka perlu menjual 2,500 kg ayam berharga RM8.90 sekilo untuk menampung bayaran kompaun RM500 !

“Sementara itu setiap kali mereka pulang ke rumah anak anak bertanya mana baju dan kasut raya! Amat menyedihkan,” ujar beliaju.

KPDNHEP dan kerajaan menetapkan harga siling ayam segar RM8.90 sekilo dan mengikut penjual, pembekal yang menjual dengan harga sekitar RM8.70 bermakna mereka hanya dapat ‘keuntungan’ sebanyak 20 sen sekilo dan setelah menanggung kos pengangkutan, tenaga pekerja dan kos plastik pembungkus, tidak dapat apa apa keuntungan.

Ramai pengusaha serta pemilik pasar raya juga berpendapat harga siling rm 8.90 tidak sesuai.

Sebelum ini, 11 peniaga ayam di Pasar Chabang Tiga, Kuala Terengganu dikenakan kompaun RM500 setiap orang serta merta kerana menjual ayam lebih dari harga RM8.90 yang telah ditetapkan.

Baca juga: Peniaga ayam dikompaun RM500: Siapa yang salah pemborong, pembekal atau peniaga?