Malaysia Dateline

Peniaga ayam dikompaun RM500: Siapa yang salah pemborong, pembekal atau peniaga?

Peniaga ayam dikompaun RM500: Siapa yang salah pemborong, pembekal atau peniaga?

Semalam tular satu video peniaga ayam segar di Pasar Cabang Tiga Kuala Terengganu yang dikompaun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kerana menjual ayam melebihi harga siling RM8.90 yang ditetapkan.

Namun 11 orang peniaga di pasar berkenaan telah dikenakan kompaun RM500 setiap peniaga disifatkan keterlaluan dan tidak adil.

Peniaga ayam, Mohd Zikri Abd Aziz, 38, dari Bukit Besar, di sini, berkata tindakan sepatutnya diambil terhadap pemborong dan pembekal kerana menjual ayam segar lebih mahal kepada peniaga.

Peniaga ayam dikompaun RM500: Siapa yang salah pemborong, pembekal atau peniaga?
Salah seorang peniaga sedang memegang RM500 untuk membayar kompaun, duit itu dikatakan untuk membeli kelengkapan hari raya Sabtu ini.

“Pemborong dan pembekal menjual ayam segar kepada peniaga antara RM8.30 hingga RM8.70 sen sekilogram walaupun kerajaan menetapkan harga di peringkat pemborong RM7.60 sekilogram,” katanya dipetik Harian Metro.

Seorang lagi peniaga berkata, pemborong dan pembekal perlu dikenakan tindakan kerana menjual ayam segar melebihi harga borong ditetapkan kerajaan iaitu RM7.60 sekilogram.

“Jika pemborong dan pembekal menjual ayam segar seperti harga ditetapkan, kami bersedia menjual secara runcit mengikut harga maksimum seperti ditetapkan iaitu RM8.90 sen sekilogram.

“Jika kami jual mengikut harga seperti ditetapkan, kami akan menanggung kerugian termasuk upah pekerja dan plastik,” katanya.

Sehubungan itu, Pengarah KPDNHEP negeri, Saharuddin Mohd Kia mengesahkan seramai 13 peniaga ayam termasuk 11 peniaga di Pasar Cabang Tiga dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Katanya, peniaga terbabit bukan sahaja dikesan menjual ayam segar melebihi harga maksimum ditetapkan, sebaliknya turut melakukan kesalahan mengelirukan pengguna.

“Mereka mempamerkan harga maksimum ditetapkan iaitu RM8.90 sekilogram, tetapi menjualnya melebihi harga ditetapkan.

“Peniaga ayam segar juga gagal membuktikan harga yang dibeli daripada pemborong dan pembekal,” katanya.

Saharuddin berkata, pihaknya meminta peniaga ayam agar tidak melindungi nama pemborong dan pembekal yang didakwa menjual ayam melebihi harga ditetapkan.

“Ketika Ops Pantau diadakan, peniaga tidak dapat membuktikan harga belian ayam daripada pemborong dan pembekal.

“Tindakan dikenakan ke atas peniaga ayam dilakukan selepas KPDNHEP negeri menerima aduan daripada orang ramai yang kecewa dengan harga yang mengelirukan,” katanya.

Baca juga: https://malaysiadateline.com/tahun-lalu-rm15-hari-ini-harga-ayam-percik-rm25-seekor-ini-alasan-peniaga/

Baca juga: https://themalaysialife.com/lakonan-bukan-lagi-punca-utama-pendapatan-rosnah-tumpu-pada-perniagaan/