Malaysia Dateline

Kerajaan Perpaduan bina negara, satukan sebanyak mungkin pemimpin – Fahmi

Isu istilah Kerajaan Perpaduan terus dimainkan pihak pembangkang biarpun mereka enggan menyertainya.

Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, idea Kerajaan Perpaduan sebenarnya diilhamkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan bermatlamat untuk menghimpunkan sebanyak mungkin pemimpin dalam mentadbir negara bagi meredakan pertembungan tajam politik.

Biar pun, katanya, tidak dapat mencontohi konsep itu sepenuhnya seperti pernah wujud di United Kingdom ketika Perang Dunia Kedua apabila Parti Buruh, Konvervatif dan sebagainya bergabung membentuk kerajaan tanpa pembangkang tetapi kerajaan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjaya menyatukan dua pertiga daripada ahli Parlimen.

“Idea (asal) Kerajaan Perpaduan ini sedikit berbeza dengan Kerajaan Perpaduan yang kita ada sekarang.

“Apakah Kerajaan Perpaduan itu? Untuk satu-padukan rakyat. Pasca PRU-15 sangat perit dan penuh bibit hitam. Kita move on, kita bergerak ke depan dan kita rapatkan saf.

“Jadi, penting kita tahu maksud Kerajaan Perpaduan, kerajaan ini adalah projek membina negara apabila boleh menyatukan seramai mungkin pimpinan bagi mengatasi masalah kita yang besar.

“Misalnya, kerajaan putuskan tarif elektrik tidak naik. Ia kelihatan seperti bukan isu besar, tetapi apabila Perdana Menteri sebut jangan bebankan rakyat, kerajaan tanggung (kos kenaikan), ia jumlah yang besar,” katanya dalam majlis bersama pengamal media sosial di Subang, malam tadi.

Antara tetamu yang hadir dalam majlis malam tadi.

Jelas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, Kerajaan Perpaduan hanya akan mengutamakan isu-isu rakyat dan pembangunan negara, bukannya politik.

Oleh itu, ujarnya, arahan utama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada semua menteri ketika ini adalah mencari jalan mengurangkan kos hidup rakyat.

“Sebab itu saya sebut, saya akan berusaha untuk kurangkan tarif (bayaran) komunikasi. Kalau kita tak dapat semua, kita buat sebahagian. Beri kepada kumpulan yang paling memerlukan.

“Sebab dapatan menunjukkan bahawa 17 peratus anak muda berumur 18 hingga 40 tahun nak isu internet dan ketersambungan diselesaikan.

“Sebanyak 66 peratus berusia 18 hingga 40 tahun nak isu kos sara hidup ditangani segera. Jadi, kita semua ada peranan,” kata Fahmi lagi.

Baca juga Selepas pen harga RM2 lebih jadi perhatian, sepiring cucur depan PM Anwar pula jadi sebutan