Kerajaan Perpaduan BN+PH di Pahang, Wan Rosdy bakal angkat sumpah MB

Oleh BORHAN AHMAD

Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dijangka akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Pahang jam 11 pagi ini selepas pemilihan beliau diperkenankan oleh Pemangku Raja Pahang.

“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang selanjutnya memperkenankan pembentukan kerajaan negeri Pahang Darul Makmur daripada parti BN dan PH.

“Berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada Raja Pemerintah sebagaimana yang dinyatakan dalam Bahagian II, Perkara 3.(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang telah berkenan untuk melantik Wan Rosdy Wan Ismail sebagai Yang Berhormat Menteri Besar Pahang,” kata kenyataan yang dikeluarkan Pengelola Bijaya DiRaja Sultan Pahang, Ahmad Khirrizal Ab Rahman.

Bekas Menteri Besar Pahang ini akan mengetuai kerajaan perpaduan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) selepas kedua-dua pihak setuju untuk membentuk kerajaan bersama.

Langkah ini selaras dengan apa yang berlaku di peringkat pusat dan juga Perak.

Majlis angkat sumpah akan diadakan pada 11 pagi esok di Balairung Seri, Istana Abu Bakar.

Perkembangan ini menamatkan pelbagai spekulasi berhubung pembentukan kerajaan negeri selepas dewan undangan negeri tergantung pada pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Pengerusi PH Pahang Datuk Seri Amirudin Shari semalam memaklumkan PH yang mempunyai lapan kerusi sudah mencapai persetujuan dengan BN yang memegang 16 kerusi untuk menubuhkan kerajaan negeri bersama.

BN turut mengadakan rundingan dengan PN yang mempunyai 17 kerusi, namun rundingan itu gagal.

BACA JUGA Luruh jantung tengok mak-mak merempit siap buat aksi Superman masa tunggang motor

JUGA Anwar laksana Manifesto No 1, kurangkan kos sara hidup