Malaysia Dateline

Kerajaan perpaduan nasional perlu dibentuk segera

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berpandangan bahawa kerajaan perpaduan nasional perlu dibentuk segera.

Beliau berkata, disebabkan tiada gabungan yang mendapat kemenangan majoriti untuk membentuk kerajaan justeru terdapat keperluan mendesak untuk membina kerajaan perpaduan.

Beliau menyarankan agar semua gabungan fokus kepada national reset agenda atau agenda menetapkan semula (reset) kedudukan negara di landasan sebenar.

“Sementara tiada gabungan yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15, terdapat keperluan mendesak untuk pembentukan National Unity Government yang menggalakkan gabungan yang bersedia.

“Fokus pada National Reset Agenda.

“Yang di-Pertuan Agong melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memimpin.

“Pemimpin perlu mengetepikan perbezaan partisan untuk objektif nasional lebih tinggi,” ciapnya di Twitter hari ini.

Sementara itu, dilaporkan ketua dan gabungan parti-parti politik akan mengemukakan gabungan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan pencalonan Perdana Menteri Malaysia ke-10 kepada Yang di-Pertuan Agong pada pukul 2 petang hari ini.

GPS pula dilapor berkata akan menyerahkan keputusan kepada kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk melantik perdana menteri baharu yang akan mengetuai pucuk pimpinan negara.

HARAPAN berjaya memperoleh 82 kerusi dalam PRU15, Perikatan Nasional 73 kerusi, BN 30 kerusi, GPS 22 kerusi, GRS 6 kerusi, Warisan 3 kerusi dan calon Bebas 2 kerusi.

Baca juga: Anwar risau sentimen perkauman yang panas di TikTok

Baca juga: Masih tiada kerajaan, GPS serah kepada Agong untuk pilih PM ke 10