Malaysia Dateline

Kes Bella: Nasib Siti Bainun diketahui esok, boleh dihukum penjara 20 tahun jika terbukti bersalah

Selepas lapan bulan kes Bella dibicara di mahkamah atas dakwaan diabai dan dianiaya, nasib pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali dijangka diketahui esok sama ada akan dipanggil untuk membela diri atau dibebaskan.

Remaja perempuan Sindrom Down itu mengalami kecederaan fizikal serta emosi didakwa didera dan dianiaya Siti Bainun dengan beberapa kecederaan terlihat pada badan seperti lecur disiram air panas, turut dikesan luka lama pada tubuh badan remaja itu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi dijadual membacakan keputusan di akhir kes pendakwaan, pada 9 pagi.

Sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada pihak pendakwaan yang berpendapat wujud kes prima facie terhadap Siti Bainun, 30, maka dia akan dipanggil membela diri, manakala jika sebaliknya pengasas rumah kebajikan itu akan dilepas dan dibebaskan

Untuk rekod perbicaraan kes itu bermula 30 Mac lalu (2022) dan antara saksi pendakwaan yang dipanggil untuk memberi keterangan ialah mangsa iaitu Bella, pakar psikiatri Dr. Wan Asyikin Wan Azlan, pembantu pengurus syarikat swasta Zurianty Sudin, pakar bedah plastik, Dr. Salmi Mohamed Shukur.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas, Zahida Zakaria, Fazeedah Faik dan Shakira Aliana Alias, manakala peguam Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor, Mohammad Farhan Maaruf, Nurul Hafidzah Hassan dan Nur Ellena Mohamed Razif mewakili Siti Bainun.

Siti Bainun, mengaku tidak bersalah mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom down berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Baca juga: Daulat Tuanku, rakyat junjung titah Agong cadang kerajaan Perpaduan

Baca juga: Sepandai-pandai buat pusingan U sebab nak lari daripada polis, akhirnya kena tangkap juga