Seorang peguam yang juga aktivis #JusticeForBella tampil ‘sekolahkan’ peguambela yang mewakili pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali apabila mengeluarkan butiran perbicaraan mahkamah berkaitan kes dera remaja Sindrom Down, Bella.
Megat Syazlee Mokhtarom (gambar atas) menerusi komentarnya di video menyifatkan peguam terbabit tidak patut membawa keluar ke media sosial perkara yang diketengahkan pada sesi pemeriksaan balas terhadap saksi.
“Kita ni peguam. Hak kita bersuara ada hadnya. Macam mana awak boleh bandingkan diri dengan netizen?
“Saya tengok teruk sangat kamu punya statement. You buat live, buat Twitter. Saya tak faham.
“Normallah kita buat kerja di mahkamah. Memang fungsi kita di mahkamah itu untuk cross. Itu tiada masalah.
“Tapi you tidak bolehlah bawa keluar. Bila dalam mahkamah, kamu cross, kita ada kelebihan sebagai peguam.
“Dalam mahkamah terpulanglah bagaimana kamu semasa dalam perbicaraan, buat pemeriksaan balas terhadap saksi,” katanya.
Terdahulu, seorang peguam Siti Bainun membuat beberapa perkongsian video termasuk membidas reaksi pihak yang mencemuhnya dengan meminta supaya orang ramai belajar untuk menghormati orang lain.
Peguam berkenaan turut menjadi sasaran kecaman warganet apabila membuat bebenang di Twitter susulan pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan kelima, Yasmin Nahar Mahmood, 19.
Mengulas lanjut, Megat Syazlee mengingatkan peguam terbabit bahawa mahkamah dan hakim yang akan menilai segala fakta yang diperoleh pada sesi pemeriksaan balas terhadap saksi.
“Kita sebagai peguam, memang kita akan balas, kita akan cross untuk menimbulkan keraguan dari segi fakta.
“Jadi, mengikut undang-undang saksi memang kena jawab soalan kita (peguam). Dia tak boleh tak jawab. Dia tak boleh lari.
‘Tapi apabila kamu bawa keluar (mahkamah), apa benda tu? Takkan nak bawa keluar apa yang ada dalam mahkamah.
“Bila bawa ke luar, kamu telah mencipta persepsi yang tidak diperlukan kerana semua fakta berkaitan kes hanya perlu diselesaikan dalam mahkamah.
“… saksi itu masih muda. Kamu bawa keluar (butiran sidang mahkamah). Hakim akan bantai kamu,” tambah Megat lagi.
Kecederaan teruk dialami Bella yang menarik perhatian orang ramai sejak tahun lalu menyaksikan Siti Bainun yang diwakili 10 peguam telah diheret ke mahkamah.
Bagaimanapun, penerima Anugerah Khas Pergerakan Puteri Umno pada 2016 itu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa itu mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Siti Bainun didakwa melakukan perbuatan di sebuah kondominium di Wangsa Maju, Kuala Lumpur antara Februari dan Jun 2021.
Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 itu membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Baca Selepas TMJ bertemu Rina dan wakil UNICEF, 4 peguam pemerhati hadir bicara kes Bella
Baca Penceramah bebas ditahan kes amang seksual terhadap kanak-kanak