Malaysia Dateline

Kes diselesai cara baik, Asyraf Wajdi setuju tarik balik tuduhan terhadap Mujahid

Kes saman yang difailkan Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa terhadap Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi, diselesaikan secara baik.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah merekodkan penghakiman persetujuan selepas bertemu kedua-dua pihak di kamar mahkamah hari ini.

Dalam persetujuan tersebut, Asyraf Wajdi selaku defendan bersetuju untuk memadam dan menarik balik hantaran di Facebook beliau tentang dakwaan penjualan aset-aset strategik Lembaga Tabung Haji (TH) bernilai RM2.6 bilion.

Dakwaan tersebut dibuat Asyraf dalam satu hantaran bertajuk “Tabung Haji jual RM2.6b ekuiti: YB Mujahid harus segera beri penjelasan”, dan telah dimuatnaik pada 30 September 2019.

Berdasarkan persetujuan, Asyraf perlu membuat hantaran bertulis di akaun Facebook miliknya berhubung dengan persetujuan untuk menarik balik kenyataannya sebelum ini.

Perkara tersebut dimaklumkan peguam yang mewakili Mujahid iaitu Noorazmir Zakaria dalam satu kenyataan hari ini.

Penghakiman persetujuan hari ini direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Akhtar Tahir di mana Mujahid diwakili oleh Peguam Noorazmir Zakaria dan Atiqa Azmi manakala Asyraf diwakili Peguam Wan Muhammad Hafiz Wan Zawawi dan Aimi Shazwani Yaakob.

“Kes ini melibatkan saman fitnah Mujahid terhadap Asyraf yang difailkan pada 19 November 2019 berhubung dengan tuduhan Asyraf di dalam Facebook miliknya bahawa wujudnya penjualan saham Tabung Haji di dalam syarikat Tenaga Nasional Berhad ketika Mujahid menjawat jawatan sebagai Menteri Agama,” katanya.

Mujahid ketika dihubungi bersyukur kes ini selesai dan beliau berharap tidak lagi wujud sebarang tohmah oleh mana-mana pihak yang mengaitkan dirinya dengan sebarang dakwaan kononnya beliau telah meluluskan penjualan saham Tabung Haji di dalam syarikat Tenaga Nasional Berhad ketika beliau menjawat jawatan sebagai Menteri Agama.

Baca juga: Faiz berjaya tunaikan janji PRU14 di Dun Permatang Pasir