Jabatan Peguam Negara (AG) dirayu untuk menzahirkan belas kasihan dengan segera membatalkan hukuman penjara 14 bulan terhadap seorang suri rumah yang didapati bersalah mencuri dua paket Milo bernilai RM73 pada Mei lalu.
Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad berkata, hukuman penjara itu bukanlah keadilan sebenar yang patut dikenakan kepada wanita berkenaan dan mahkamah perlu mengkaji semula hukuman yang dijatuhkan (judicial revision).
Menurut Dzulkefly, biarpun tertuduh berusia 43 tahun itu dilaporkan sebagai pesalah berulang (repeat offender) dan juga seorang penagih, namun kes ini wajar dipertimbangkan bukan dengan hukuman penjara semata-mata.
Sebaliknya, beliau yang juga bekas menteri kesihatan itu menegaskan, wanita tersebut perlu dibantu untuk keluar daripada perangkap kemiskinan dan kesengsaraan hidup yang berpanjangan.
“Keadilan yang dilaksanakan dalam kes ini jelas sekali kekurangan nilai kemanusian terutamanya kepada masyarakat umum yang sedang berdepan dengan isu sara hidup, sehinggakan ramai yang kini hanya mampu kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
“Terdapat juga golongan yang terpaksa mengemis untuk sesuap nasi dan ada juga yang terpaksa mencuri.
“Saya sesungguhnya percaya ia bukanlah keadilan yang sebenar untuk menghukum tertuduh dalam kes tin Milo ini dengan hukuman berat. Sebaliknya, keadilan yang sebenarnya menuntut untuk peluang diberikan kepada mereka yang jelas hanya ingin mengalas perut,” katanya dalam satu ulasan.
Mengulas lanjut Dzulkefly berkata, kebajikan anak-anak wanita berkenaan perlu dibela dan dilindungi supaya mereka berpeluang bebas dari kitaran ganas tekanan derita hidup ini.
Pada masa sama beliau mengingatkan, walaupun tertuduh merupakan pesalah berulang, namun pertimbangan harus diberikan kepada jenis, sifat dan keseriusan jenayah yang telah dilakukan. Dan dalam kes ini, ia adalah satu salah laku remeh yang melibatkan dua tin Milo.
“Residivisme (mengurangkan ulangan kesalahan) hanya boleh dilaksanakan melalui rehabilitasi dan bukannya dengan hujuman penjara yang lebih panjang.
“Saya menyeru kepada Jabatan Peguam Negara untuk menzahirkan belas kasihan mereka dengan serta merta dan mohon untuk penggantungan pelaksanaan hukuman serta memohon kepada mahkamah untuk mengkaji semula hukuman yang dijatuhkan (judicial revision).
“Saya juga percaya kes tin Milo ini menyuluh cahaya kepada perkara yang lebih besar, iaitu isu sara hidup rakyat dan kenaikan harga barangan keperluan yang harus ditangani segera,” katanya lagi.
Baca juga: Netizen pertikai sekolah jemput ‘ikon pemotoran tak diiktiraf’ beri motivasi pada pelajar
Baca juga: Wanita niat simpan baju sanding harga RM8,000, kecewa ditinggal kekasih tiga minggu sebelum majlis