Malaysia Dateline

Kes pelajar tingkatan 1 pukul, ugut pisau selepas rakan enggan hisap kemaluan: Bahana gajet, ibu bapa diingatkan didik anak

Ramai ibu bapa dilihat terkejut dengan kes seorang pelajar lelaki tingkatan satu di Gurun, Kedah kelmarin sanggup menampar, memukul dan mengugut dengan pisau selepas rakannya, seorang murid tahun empat enggan menghisap kemaluannya.

Rata-rata ibu bapa berpendapat bahana gajet tanpa kawalan dan pemantauan menjadikan remaja mudah terpengaruh dengan pelbagai bentuk anasir buruk di alam maya sekaligus cabaran buat ibu bapa pada masa ini.

Semakan di laman Facebook Penduduk Sungai Petani mendapati ibu bapa saling mengingatkan bahawa pentingnya pendidikan akhlak serta berkaitan maruah diri dan menghormati orang lain diberi penekanan dalam keluarga masing-masing.

Bagi Yushaneez Kamarudin, institusi kekeluargaan dalam zaman gajet sekarang jauh berbeza tidak seperti dahulu.

“Nauzubillahiminzalik. Bahana gajet tanpa pengawasan dan batasan. Paling digeruni keluarga zaman sekarang.

“Kita dah kawal tapi ada yang lain beri. Cabaran yang besar untuk keluarga zaman kini.. Tak sama macam zaman dahulu,” katanya.

Ramai juga menyifatkan kedua-dua remaja dengan pipi kanan mangsa lebam akibat ditampar dan dipukul suspek dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang kelmarin adalah mangsa.

“Innalillahhiwainnaillahhirojiun. Kedua-dua remaja ini adalah mangsa sebenarnya. Sedihnya. Semoga baik-baik saja untuk kedua-duanya.

“Jadi hamba Allah yang musleh. Amin. Doakan baik-baik, semoga jadi baik-baik,” tulis Tee Abdul Manaf.

Untuk rekod, suspek telah dua kali mengarahkan mangsa yang juga rakan sepermainannya menghisap kemaluannya tetapi enggan dituruti mangsa.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan dilapor berkata, suspek sebelum itu membawa mangsa menaiki kereta Perodua Kancil yang dipandunya ke sebuah kedai di taman perumahan di Gurun.

Selepas itu, mangsa diarah membuka seluar suspek dan menghisap kemaluannya tetapi mangsa enggan menyebabkan dia ditampar dan dipukul.

“Suspek kemudian membawa rakannya itu ke rumahnya dan mengarahkan mangsa sekali lagi menghisap kemaluannya tetapi arahan itu enggan diikuti mangsa,” dipetik Utusan Malaysia.

Menurut Zaidy, berang permintaan tidak dipenuhi, suspek kemudian mencekik leher mangsa dan mencederakannya dengan sebilah pisau menyebabkan dia takut dan berlari pulang memberitahu bapanya.

Ekoran itu, jelasnya, bapa mangsa membuat laporan kejadian di Balai Polis Gurun dan pada pukul 7.19 malam hari sama, suspek ditahan di rumahnya.

Tambahnya, suspek kini direman empat hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTKK) 2017 serta Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

‘Pandai buat kerja’

Sementara itu, tular satu video berdurasi 2 minit 39 saat memaparkan seorang remaja dipercayai suspek yang antara lain dipukul dan diterajang dari belakang oleh seorang lelaki dewasa.

“Baru tingkatan satu pandai buat kerja begini,” kata individu lain sambil menuding jari ke arah remaja berkenaan.

Remaja berseluar jeans biru dan berbaju hijau gelap itu kemudiannya berteriak seketika sejurus dibelasah sebelum berdiri dengan dilihat terus meletakkan telefon bimbit di telinganya dipercayai sedang menghubungi ayahnya.

Dia sekali lagi diterajang oleh lelaki dewasa berbaju putih sebelum rakaman video diakhiri dengan suara remaja yang dipercayai sebaya dengan suspek dalam loghat Kedah, “aku tak puas hati dengan budak ni, kurang ajar sangat.”

Sehubungan itu, warganet mengingatkan bahawa kanak-kanak lelaki juga pada masa sekarang terdedah pada mangsa gangguan seksual.

“Budak lelaki pun mangsa seksual kanak-kanak. Disebabkan itu dia nak cuba sendiri dan jadilah seperti ini. Sebab itulah ilmu seksual kanak-kanak amat penting untuk ibu bapa terangkan dari kecil,” kata Shamir Farizmi.

Bagi Nor Ismaniza Ismail pula, beliau berharap semoga generasi hari ini menjadi insan yang lebih baik dalam kehidupan dunia dan akhirat.

“Sedih dan takut. Dua-dua adalah mangsa. Moga selepas ini jadi pengajaran pada si pelaku dan semoga ini jadi titik perubahan dia jadi orang yang lebih baik.

“Semoga mangsa cepat sembuh daripada kecederaan fizikal, emosi dan mampu mengatasi trauma. Aamiin,” doanya lagi.

Baca juga Bekas guru tahfiz berdepan 10 tuduhan meliwat, amang seksual enam pelajar