Malaysia Dateline

Kes pengkid pakai pakaian ihram dah selesai bulan lepas rupanya

Pada Ogos lalu, negara digemparkan dengan kes seorang wanita didakwa menyamar sebagai seorang lelaki dan mengerjakan ibadah umrah dengan mengenakan pakaian ihram lengkap di Makkah.

Ekoran itu, ramai yang mendesak agar pihak kerajaan dan jabatan agama mengambil tindakan tegas ke atas perbuatan individu berkenaan yang didakwa mempermainkan hukuman agama.

Namun difahamkan, kes tersebut sudah selesai secara baik melalui penyelesaian luar mahkamah sejak hampir sebulan lalu.

Individu berkenaan dilaporkan hadir bersama ibu bapanya ke Pejabat Agama Islam Daerah Perak Tengah di Seri Iskandar secara sukarela dan hukuman dikenakan juga bukanlah dalam bentuk tangkapan mahupun denda.

Sebaliknya Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin, berkata wanita berperwatakan lelaki atau ‘pengkid’ itu perlu melalui sesi kaunseling.

“Kes sudah selesai hampir sebulan lalu selepas pihak kita mengambil keterangan serta semua maklumat berkaitan dengan kehadiran bersama ibu serta bapanya. Alhamdulillah mereka berikan kerjasama amat baik.

“Wanita itu sudah selesai berikan kenyataannya kepada kita. Insya-Allah kita ada cara tersendiri bagaimana hendak menangani kes seumpama ini,” katanya seperti yang dilapor Harian Metro.

Beliau menambah, buat masa ini wanita berkenaan akan melalui sesi kaunseling dan percaya, jika dia tidak insaf serta tidak rasa bersalah, dia tidak akan datang ke pejabat agama secara sukarela untuk mengakui kesalahannya.

“Tidak semestinya dalam kita mencegah sesuatu, ia perlu bersifat suatu hukuman, tangkap, apatah lagi mendera kerana ada kaedah lain yang boleh kita buat tambahan pula dia dan keluarganya berikan kerjasama sangat baik dengan datang sendiri kepada kita.

“Mudah-mudahan dia sedar kesilapan yang dilakukannya serta insaf. Pada saya jika dia tidak insaf dan rasa bersalah, dia takkan datang pun kepada kita sebaliknya mereka datang dengan sukarela,” katanya lagi.

Baca juga: Peniaga dakwa ditipu hidup-hidup, bayar tapak RM1,200 tapi tanah berlopak, pengunjung tak ada

Baca juga: Penyewa guna hujah agama elak bayar sewa rumah-Penunggang agama patut dihukum burukkan Islam