Malaysia Dateline

Peniaga dakwa ditipu hidup-hidup, bayar tapak RM1,200 tapi tanah berlopak, pengunjung tak ada

Karnival Makanan dan Usahawan Perak yang diadakan baru-baru ini nampaknya tidak berjalan seperti yang dirancang apabila sekumpulan vendor dan peniaga yang menyewa tapak berkenaan tidak berpuas hati dengan keadaan lokasi yang disediakan penganjur.

Seperti yang dikongsikan @AsriiKamarudin di Twitter, dia mendakwa peniaga dianiaya kerana karnival yang diadakan pada 24 dan 25 September itu sejujurnya tidak mendapat sambutan yang menggalakkan seperti yang diperkatakan penganjur.

Bahkan, pada hari pertama sahaja, hasil jualan tidak sampai RM100 sedangkan penganjur mengenakan bayaran tapak dua kali ganda dan peniaga juga menyediakan bahan mentah lebih banyak pada karnival itu.

“Sembang ke langit pompang pompang event gempak itu ini. Kami sebagai vendor ambil Inisiatif untuk prepare barang mentah lebih dari event yang berjaya tempoh hari anjuran Lokein. Dengan harapan event ini lagi ramai dek kerana sewa tapaknya yang dua kali ganda lebih mahal.

“Tapi hakikatnya itu semua dusta dan permainan barisan penganjur yang memutar belitkan keadaan. Dan melayan kami dengan cara sambil lewa.

“Kenapa perlu sampai mute kami di group vendor? Dan hanya admin sahaja boleh bersuara?,” soal individu itu lagi sambil menyertakan tangkap layar kumpulan WhatsApp vendor yang telah ditetapkan dengan mod sekatan iaitu membenarkan admin sahaja menghantar mesej.

Pada masa sama, individu tersebut mendakwa caj parkir yang dikenakan sebanyak RM10 juga adalah mahal menyebabkan tidak ramai pengunjung hadir ke acara berkenaan.

Bagaimanapun difahamkan, para peniaga telah diberikan pampasan pulangan semula wang tapak selepas berlaku beberapa bantahan dalaman.

Tetapi dalam perjumpaan itu, penganjur tidak menghadirkan diri dan peniaga tetap mahu bersemuka dengan penganjur.

Meninjau ke ruangan komen, ada beberapa penduduk Ipoh sendiri tidak mengetahui tentang karnival berkenaan dan mengkritik kaedah hebahan yang tidak dilakukan secara meluas.

Baca juga: Sebak tengok mangsa hampir bunuh diri nangis teresak-esak ketika dipeluk, ‘kadang tadah telinga pun boleh ringankan beban’

Baca juga: 43,862 tidak berjaya masuk universiti awam