Malaysia Dateline

Kesan kenaikan harga barang, kanak-kanak tidak cukup nutrisi terpaksa minum air kosong

Kenaikan harga barang sangat memberi kesan kepada keluarga golongan bawahan dan pertengahan apa yang mereka ada cuma cukup-cukup makan, kais pagi makan pagi malah ada bayi tidak cukup nutrisi mampu minum air kosong

Dengan harga barang terus meningkat, kanak-kanak adalah yang paling teruk terjejas.

Ia membabitkan tiga bahagian paling kritikal yang memerlukan perhatian dan tindakan segera oleh Perdana Menteri dan kabinet iaitu makanan bernutrisi, penjagaan kesihatan dan pendidikan kanak-kanak.

Makanan bernutrisi menjadi perkara kedua kepada mereka yang lapar.

Ada bayi yang diberi minum air kosong dan sedikit gula berbanding susu.

Nasi putih kosong mungkin satu-satunya sumber makanan kerana harga daging dan protein melonjak naik di luar jangkaan.

Bagi Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh Dengan pengurangan kuantiti dan kualiti makanan, jika tiada campur tangan daripada Kerajaan Persekutuan, rakyat mungkin terpaksa memperuntukkan bajet yang lebih besar untuk penjagaan kesihatan kanak-kanak dan keluarga mereka di seluruh negara pada tahun-tahun yang akan datang.

Apatah lagi dari segi penjagaan kesihatan ramai pengamal perubatan am melaporkan yang ubat asas untuk kanak-kanak seperti ubat cecair kini kehabisan stok dan anak-anak kecil ini sedang menanggung kesakitan.

Kesan kenaikan harga barang, kanak-kanak tidak cukup nutrisi terpaksa minum air kosong
Golongan kanak-kanak paling terjejas akibat kenaikan harga barang

“Tanpa duit, ibu bapa ini tidak mampu mendapatkan rawatan untuk anak-anak mereka,” kata beliau.

Pendidikan anak-anak juga turut terjejas apabila harga barang naik di mana duit bagi tujuan pendidikan terpaksa dikurangkan.

Ini termasuklah untuk pengangkutan, pembelian buku dan pakaian seragam, mainan dan banyak lagi.

Pendidikan anak-anak akan terganggu atau dalam beberapa keadaan terpaksa berhenti belajar kerana ibu bapa yang terkesan mungkin memerlukan bantuan anak-anak mereka untuk membantu di gerai dan perniagaan mereka kerana mengupah pekerja jauh lebih mahal.

“Saya begitu bimbang apabila membayangkan keseluruhan kitaran kesan buruk Covid ke atas kanak-kanak, kini berulang akibat krisis harga barang yang naik baru-baru ini,” kata Hannah.

Tambahnya, tiada suara Eksekutif yang berkesan daripada Menteri Pendidikan Radzi Jidin atau Menteri Wanita Rina Harun yang telah ditugaskan untuk menjaga kebajikan kanak-kanak.

“Sekurang-kurangnya apa yang mereka boleh lakukan sekarang ialah mengenal pasti kanak-kanak yang terkesan dan data yang relevan untuk dibentangkan di Parlimen apabila kita bersidang nanti.

“Setidak-tidaknya, inilah yang boleh diharapkan daripada mereka. Tanpa data, orang awam dan pelbagai NGO tidak akan dapat membantu dengan lebih berkesan.

“Kanak-kanak ini, terutamanya yang lebih kecil tidak mempunyai kapasiti untuk bersuara, menulis di media sosial dan surat terbuka atau hadir ke protes. Mereka hanya bergantung kepada kita untuk menjadi jurucakap mereka.

“Kita tidak gagal sebagai sebuah negara hanya kerana jumlah pelaburan yang kecil atau mengalami kerugian ekonomi. Kita gagal sebagai sebuah negara apabila poket Menteri kita lebih tebal sedangkan perut anak-anak kita kurus menipis,” ujar beliau.

Baca juga: Tubuh 3 ‘task force’ tapi kerajaan semakin gagal atasi inflasi

Baca juga: Buat ‘content’ Tiktok tak jaga hati Puteri Sarah, peguam akan siasat kandungan video tersebut