Ketika bertalu desakan minta segera PRU-15, ringgit cecah paras terendah sejak krisis kewangan Asia 1998

Oleh ARIF ATAN

Ketika bertalu-talu desakan Umno yang meminta Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan segera, nilai mata wang negara jatuh terduduk ke paras terendah dalam tempoh 24 tahun.

Pagi ini, ringgit dilapor dibuka lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) kepada paras terendah yang pernah dicatatkan semasa krisis kewangan Asia 1998.

Lebih ramai pelabur beralih kepada mata wang selamat itu ekoran prospek ekonomi global yang tidak menentu, dipetik Bernama.

Pada 9.01 pagi tadi, mata wang tempatan merosot kepada 4.5010/5035 berbanding dolar AS daripada 4.4970/4500 ketika ditutup semalam.

Menurut peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, pasaran mengalami turun naik yang lebih ketara berbanding biasa baru-baru ini disebabkan keputusan Russia untuk memotong bekalan gas ke Eropah bagi tempoh yang tidak pasti ekoran memuncaknya konflik geopolitik melibatkan negara itu.

“Sementara itu, data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Bukan Pembuatan ISM AS bagi Ogos mencatatkan bacaan yang jauh lebih tinggi daripada jangkaan, dan ini meningkatkan tekanan belian terhadap dolar AS yang telah sedia berada dalam aliran menaik sejak beberapa bulan lalu,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Jelasnya lagi, berdasarkan data yang menunjukkan inflasi tinggi dan pengangguran rendah di AS, ramai yang menjangkakan Rizab Persekutuan AS mengekalkan trajektori meningkat semasa apabila membabitkan kadar faedah, dengan kenaikan seterusnya dijangka diputuskan pada mesyuarat akan datang.

Baca juga Ringgit lemah: Tangguh buat hutang baru, jimat berbelanja

Baca juga Kalau dah peminat fanatik, tisu harga RM35,706 pun sanggup beli