Malaysia Dateline

Kejatuhan Ringgit di luar kawalan kerajaan kata Najib

Ringgit lemah: Tangguh buat hutang baru, jimat berbelanja

Orang ramai berpendapat rakyat terutama golongan B40 perlu berwaspada berdepan dengan kejatuhan nilai ringgit termasuk menangguhkan terlebih dahulu komitmen hutang yang baru.

“Perkukuhkan kewangan keluarga. Utamakan keperluan hidup. Jimat berbelanja, banyak negara sedang hadapi inflasi,” kata seorang netizen.

Reaksi itu susulan situasi ringgit yang lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dibimbangi melonjakkan kos sara hidup rakyat ekoran kenaikan harga barangan pengguna dan mentah yang diimport.

Minggu lalu pula, Bank Negara Malaysia (BNM) dilapor dijangka akan menaikkan Kadar Dasar Semalaman, (OPR) seawal Julai nanti.

Mengulas kemungkinan tersebut, pengguna Facebook Eiyda berpendapat tempoh bayaran balik pinjaman akan menjadi lebih panjang sekiranya kadar OPR dinaikkan.

“Tak pun kadar bayaran balik tinggi. Bila naik kadar OPR, semakin perlahanlah aliran tunai,” katanya lagi.

Untuk rekod, jangkaan BNM menaikkan OPR susulan tindakan bank pusat Amerika Syarikat (AS), Rizab Persekutuan (Fed) pada 4 Mei lalu sekali lagi menaikkan kadar faedah di negara itu sebanyak 50 mata asas bagi membendung gelombang lonjakan inflasi.

Bagaimanapun, penganalisis ekonomi, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid mengekalkan saranan kenaikan OPR, penanda aras kadar faedah pinjaman dan tabungan, sebanyak 25 mata asas pada separuh kedua 2022.

Melihatkan inflasi kekal tinggi juga, rata-rata orang ramai berpendapat kewangan peribadi perlu dipastikan stabil selain jaminan pekerjaan sebelum membuat komitmen kewangan jangka panjang.

“Berhenti tambah hutang. Kukuhkan kewangan keluarga terlebih dahulu. Jimat cermat di zaman ini. Simpan emas sedikit demi sedikit untuk masa akan datang,” saran Muhammad Azahar.

Golongan B40 dibimbangi akan teruk terpukul dengan kesan kejatuhan nilai ringgit jika boros berbelanja.

Bagi Firdaus Mohamad pula, beliau berpendapat orang ramai perlu membuat simpanan kecemasan terlebih dahulu selain beli rumah, jadikan kediaman sebagai pelaburan dan belajar mengenai pasaran hartanah atau saham.

“Buat simpanan ASB sikit-sikit mana yang mampu. Kalau dah ada, buat ASB anak-anak pula. Beli kereta yang sesuai dengan kelayakan kewangan kita,” nasihatnya.

Dalam masa sama, harga median keseluruhan bagi pembelian hartanah yang juga semakin melambung menyaksikan semakin sukar untuk majoriti rakyat memiliki rumah sendiri.

“Nak beli rumah pun susah sangat. Dulu tiada KWSP tak boleh beli. Sekarang ada KWSP pun tak boleh beli juga, sebab gaji basic rendah. Dahlah harga rumah sekarang RM200,000 ke atas,” keluh Hooi Kung.

Mengulas kejatuhan ringgit, Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat permintaan terhadap eksport barangan Malaysia akan meningkat kerana ianya lebih murah dan ini boleh membantu hasil negara.

Namun jelasnya, kos import akan menjadi lebih mahal memandangkan Malaysia juga banyak bergantung kepada barangan luar negara yang diimport.

“Ini akan menyebabkan barangan import yang dijual di pasaran tempatan menjadi lebih mahal.

“Ia pasti akan menyebabkan kos barangan serta kadar inflasi meningkat dan membebankan lagi rakyat.

“Oleh itu rakyat harus bijak dalam berbelanja dengan membeli barangan tempatan,” dipetik BH.

Baca ‘Agak-agaklah sewa flat sampai RM1,400’

Baca Empat mitos yang anda perlu tahu tentang isi minyak kereta