Malaysia Dateline

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awan ditamatkan berkuat kuasa hari ini

Kerajaan menamatkan perkhidmatan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awan Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah yang berkuat kuasa hari ini.

Surat berkenaan menyebut sedemikian atas perkara Penamatan Demi Kepentingan Awam Di Bawah Peraturan 49(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U (A) 395/1993] Dan Dibersarakan Mengikut Perenggan 10(5)(D) Akta Pencen 1980 [Akta 277].

Perkara itu dimaklumkan dalam satu surat kepada Mohd Shafiq yang ditandatangani Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali bertarikh 1 Disember lalu.

Surat itu turut memberitahu penamatan Mohd Shafiq sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik Gred Utama Turus 1 (Memangku) demi kepentingan awam di bawah peraturan yang disebutkan di atas.

Mohd. Shafiq dilantik memegang jawatan itu pada 10 Februari lalu menggantikan Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman yang bersara wajib pada 16 Jan 2022.

Media sebelum ini melaporkan, berlaku ketegangan antara Mohd Shafiq dan pegawai Imigresen di KLIA berhubung isu pemeriksaan pasport.

Insiden itu menyebabkan Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) mengeluarkan kenyataan mengutuk kejadian itu sebelum Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kemudian menafikan Mohd Shafiq mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pegawai terbabit.

Kenyataan JPA itu antara lain menjelaskan, Mohd Shafiq hanya membuat teguran terhadap imigresen khususnya Ketua Penolong Penguasa Imigresen, James Lee berhubung ketidakpatuhan amalan dan prosedur.

Baca juga: 5 pembaharuan PM Anwar dalam tempoh dua minggu di Putrajaya