‘Keutamaan saya sekarang ialah kos sara hidup’ – Anwar

Oleh ARIF ATAN

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pentadbiran kerajaannya akan mengutamakan isu kos sara hidup yang semakin menekan kehidupan rakyat Malaysia pada masa ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, pihaknya tetap memberi tumpuan dalam usaha mencari jalan penyelesaian kepada masalah peningkatan kos sara hidup walaupun kekuatan ringgit serta Bursa Saham menunjukkan perkembangan positif.

Sehubungan itu, beliau memberitahu akan mengadakan pertemuan secepat mungkin dengan jabatan dan agensi berkaitan untuk membincangkan perkara tersebut selewat-lewatnya Isnin depan.

“Keutamaan saya sekarang ialah kos sara hidup walaupun ada yang positif, umpamanya kekuatan ringgit dan soal Bursa Saham yang lebih positif, sekali gus menunjukkan keyakinan terhadap pentadbiran sekarang.

“Namun, saya masih berasa keutamaan harus diberikan terhadap kos sara hidup dan harga barangan yang mencengkam serta menekan kehidupan rakyat.

“Saya akan mengadakan pertemuan segera dengan jabatan dan agensi berkenaan dalam masa terdekat. Jika tidak keberatan, mohon adakan pertemuan pada hujung minggu atau Isnin ini,” katanya pada sidang media, di Putrajaya, hari ini.

Kerajaan Perpaduan diterajui Anwar dilihat berdepan cabaran kadar inflasi tinggi yang dihadapi rakyat terutama golongan B40.

Ahli ekonomi sebelum ini berpendapat tekanan inflasi negara akan terus melambung dengan kadar yang mungkin lebih rendah ekoran tekanan harga makanan yang tinggi dalam jangka masa terdekat.

Baca juga “Gue ikut bangga…”- Netizen Indonesia teruja Anwar jadi PM hingga jadi bualan di negara jiran

Baca juga Jijik! Remaja sanggup raba dan cium pipi budak usia 11 tahun dalam lif