Malaysia Dateline

Khalid titipkan Shah Alam kepada Azli Yusof selepas 3 penggal berkhidmat

Selepas tiga penggal dipilih sebagai Ahli Parlimen Shah Alam dengan majoriti kemenangannya bertambah setiap kali, Khalid Samad meninggalkan Shah Alam dan bertarung di medan baru iaitu Parlimen Titiwangsa di Kuala Lumpur.

Beliau mengamanahkan Shah Alam kepada orang kanan beliau Azli Yusof, Ketua AMANAH Shah Alam yang juga Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor.

Azli bukan sosok baru di Shah Alam. Beliau telah berhijrah dan menetap di Shah Alam sejak 1985 lagi dari kampung asal beliau di Sungai Besar, Selangor.

Menurut Azli, selepas menjadi Ahli Parlimen nanti, beliau akan berusaha memberikan khidmat terbaik untuk warga Shah Alam.

“Saya akan memberikan enam tumpuan utama selepas menjadi Ahli Parlimen Shah Alam nanti samada di Dewan Rakyat atau ketika berurusan dengan pihak-pihak yang berkenaan,” kata Azli ketika berdialog dengan para pengerusi dan pemimpin kanan JMB (Lembaga Pengurusan Bersama) di kompleks apartmen Jalan Budiman, Shah Alam petang semalam.

Azli berdialog dengan para pemimpin JMB di gugusan apartmen Jalan Budiman, Shah Alam petang semalam, 13 November 2022.

Ke enam-enam fokus beliau adalah isu kos sara hidup, masalah banjir kilat, kesesakan lalulintas, masalah sekolah di U10, kesesakan di klinik wanita dan kanak-kanak dan masalah parking.

“Saya akan berusaha untuk menguruskan isu ini sebaik mungkin dan cuba menyelesaikannya samada ketika saya bercakap di Parlimen atau ketika berurusan dengan pihak-pihak berkenaan,” kata Azli yang sebelum ini pernah menjadi ahli majlis di Shah Alam, Setiausaha Politik kepada menteri dan pelbagai jawatan dan pengalaman lagi.

Dengan berbekalkan pengalaman dengan masyarakat dan kerja beliau sebagai jurutera kanan dengan syarikat antarabangsa sebelum ini, Azli yakin ia akan banyak membantu beliau.

“Saya sudah 15 tahun membantu Khalid Samad di Shah Alam. Saya akan pastikan warga Shah Alam nikmati arus kemudahan dan tiada yang terpinggir.

“Saya akan berusaha mencari penyelesaian terbaik dan memastikan semua warga Shah Alam mendapat keselesaan,” janji Azli di depan pemimpin masyarakat setempat itu.

Menurut kajian yang dibuat oleh satu pasukan penyelidik, kekuatan Pakatan Harapan dan khususnya AMANAH di Shah Alam sebelum ini ada dua iaitu ketokohan wakil rakyatnya Khalid Samad dan kekuatan jentera perkhidmatannya.

Apabila Khalid diminta bertanding di Titiwangsa, beliau menitipkan Shah Alam kepada Azli, yang mengetuai jentera AMANAH Shah Alam selama ini.

“Kita yakin akan diberikan mandat sekali lagi oleh warga Shah Alam dalam pilihan raya kali ini,” kata seorang petugas Pakatan Harapan Shah Alam ketika ditemui Malaysia Dateline semalam.

Azli juga kelihatan yakin dengan sokongan penduduk Shah Alam kepada beliau.

“Tambahan lagi semua orang mahukan Anwar Ibrahim menjadi PM kali ini,” kata beliau.

Azli bergambar dengan para pemimpin JMB gugusan apartmen di Jalan Budiman, Shah Alam. Satu-satunya wanita dalam gambar ini adalah Aishah yang mengendalikan majlis ini.

Keyakinan Azli bukan saja-saja. Beliau dikelilingi oleh jentera yang hebat yang selama ini menaikkan Khalid Samad di Shah Alam.

Program petang semalam dikendalikan sepenuhnya oleh Ahli Majlis Dewan Bandaraya Shah Alam untuk Zon 8, Siti Nur Aishah Mohd Zin yang juga tinggal di apartmen gugusan itu.

“Ini bakal wakil rakyat AMANAH di masa depan. Dia mempunyai pakej yang lengkap untuk menuju ke situ,” kata seorang penghuni Apartmen Alam Prima, salah satu apartmen di Jalan Budiman.

Walaupun satu-satunya wanita di majlis itu, Aishah dilihat profesional dan tidak kekok mengendalikan majlis dialog Azli dengan para pengerusi JMB di kawasan itu.

BACA JUGA Bila Anwar akan jadi PM soalan popular di luar negara, kata bekas Menteri Luar Anifah Aman

JUGA Selesaikan masalah gaji rendah di kalangan graduan antara keutamaan PH

DAN JUGA Siapa pilihan di Parlimen Gombak?