Khatib Masjid Negara sebak ingatkan pemimpin henti berbalah, bersimpati terhadap rakyat

Oleh ARIF ATAN

Sambutan Aidiladha 1442H masih lagi menyaksikan sebahagian besar umat Islam di negara ini terjejas dengan impak penularan pandemik Covid-19.

Ramai yang semakin menyusut bahkan terputus sumber pendapatan dan bekalan makanan selain kehilangan insan tersayang dengan 7,148 nyawa menjadi korban Covid-19.

Hal inilah sedang menyelubungi suasana Hari Raya Korban tahun ini ditambah dengan larangan rentas negeri bagi mengekang jangkitan wabak di luar kawalan.

Pagi 10 Zulhijah ini, Imam Besar Masjid Negara, Haji Ehsan Mohd Hosni kedengaran sebak pada minit-minit terakhir ketika membacakan Khutbah Solat Sunat Aidiladha bertajuk, “Cabaran dan Pengorbanan.”

Perasaan khatib berkenaan dapat dikesan ketika beliau menasihatkan pemimpin bersimpati terhadap rakyat agar tidak terus bertelagah.

“Khatib juga menasihatkan kepada pemimpin dan rakyat agar menumpukan segala usaha dan tindakan dalam mengekang penularan Covid-19.

“Hentikanlah perbalahan yang sia-sia. Bersimpatilah terhadap rakyat dan janganlah kerana ketamakan itu menyebabkan rakyat pula menjadi mangsa.

“Bagaimana Allah mahu memperkenankan doa kita semua dan menurunkan rahmat-Nya… (terhenti sebentar)… selagimana kita masih lagi bergelumang dengan dosa dan kemaksiatan serta perpecahan,” katanya.

Beliau juga menyeru jemaah supaya bersama-sama bermunajat kepada Allah SWT bagi memohon pertolongan supaya wabak dan musibah yang sedang melanda negara diangkat.

Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin hadir berjubah putih bersama isteri Puan Sri Noorainee Abd Rahman menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negara hari ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden Bersatu berkenaan hadir bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri serta 300 jemaah lain.

Difahamkan, lebih 100 jemaah hadir awal ke masjid berusia 56 tahun itu menunaikan solat Subuh berjemaah dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Setakat semalam, Malaysia mencatatkan sebanyak 927,533 kes Covid-19 dengan Lembah Klang terutama Selangor paling teruk terjejas.

Sebanyak 326,823 kes Covid-19 direkodkan di Selangor dengan jumlah kematian tertinggi berbanding negeri lain tetapi kadar vaksinasi yang amat rendah.

Sehingga 17 Julai lalu, hanya 30.4 peratus iaitu 1,987,129 penduduk di Selangor mendapat vaksinasi dos pertama walaupun pendaftaran untuk suntikan pelalian tinggi mencecah 96.7 peratus.

Peratusan vaksinasi dos pertama tersebut jauh lebih rendah bagi negeri yang mempunyai sebanyak 6.7 juta penduduk itu berbanding negeri dan wilayah lain.

Kuala Lumpur mencatatkan rekod 95.6 peratus populasi sudah menerima vaksin dos pertama diikuti Putrajaya (63.6 peratus), Labuan (59.2 peratus), Negeri Sembilan (36.9 peratus) dan Perlis 34.7 peratus.